Proton Iriz RX Supercar dihasilkan untuk kejuaraan musim 2021, guna pelantar R5, hampir 600hp

2473

Pasukan Team RX Racing akan membina sebuah jentera Proton Iriz RX Supercar untuk musim 2021, bekerjasama dengan Tony Bardy Motorsport dan Mellors Elliot Motorsport (MEM).

RX Supercar ialah salah satu kategori dalam rally cross, dan jentera Iriz itu akan dibina berasaskan Iriz R5 WRC.



Sudah tentu seperti yang anda tahu, Iriz R5 sebelum ini dibina oleh MEM untuk bersaing dalam kejuaraan-kejuaraan rali di sekitar Eropah, antaranya British Rally Championship.

Iriz R5/Rally2 dan RX akan mempunyai pelantar yang sama, dan kesemua pihak terlibat kini giat menyiapkan jentera itu sepanjang musim sejuk ini sebelum pelancarannya tahun depan.

Iriz RX ini dirancang untuk berentap dalam kejuaraan seperti Five Nations British, FIA European dan FIA World Rallycross, dengan pemandu tetap Team RX Racing, Ollie O’Donovan untuk musim pertamanya pada 2021.

O’Donovan berkata: “Ini satu projek yang sangat mengujakan. Kereta-kereta yang kami gunakan sebelum ini sudah berusia, kini tiba masa kami mencari hala tuju baharu.”

“Pilihan mudah ialah membeli kereta dari World Championship, tetapi kami mahukan sesuatu yang berbeza, lain dari yang lain.

“Saya telah bekerja dengan Tony cukup lama. Dengan pengalamannya dalam rallycross dan kepakaran MEM, kami menjangkakan sesuatu yang besar.”

Bardy juga mengakui tidak sabar dengan jentera baharu mereka. “Kami mulanya merancang untuk kereta lain, tetapi Ollie tidak mahu jadi seperti orang lain. Dia mahukan sesuatu yang berbeza.”

“Saya sudah lama mengenali mereka di MEM, dan Iriz memang sesuatu yang sangat berbeza.

“Jadi dengan mudah kami ambil keputusan membina jentera rallycross Supercar Proton yang pertama.”

Prinsipal pasukan Proton Motorsport, Chris Mellors juga mengakui Iriz merupakan titik permulaan yang sempurna untuk sebuah RX Supercar.

“Semasa kami mula-mula membina Iriz R5, kami ada terfikir untuk membawanya ke acara rallycross, jadi memang ada sesetengah bahagiannya yang sedikit over-engineered,” katanya.

“Walaupun Iriz sangat pendek, ia mempunyai wheelbase roda paling panjang dalam kelas R5, dengan pergerakan dan geometri suspensi depan yang sangat mengkagumkan, dari rekaan asal Proton.

“Kami mempunyai ruang yang banyak untuk talaan dan pelarasan, jadi kami akan hasilkan beberapa komponen khas untuk rallycross,” kata Chris.

Perincian tentang spesifikasi Proton Iriz RX Supercar ini belum didedahkan. Namun kita boleh jangkakan ia akan disumbat dengan enjin 2.0-liter turbo menghasilkan hampir 600hp, berat sekitar 1,300kg, kotak gear sequential enam-kelajuan, sistem pacuan semua-roda, dan kit badan lebih agresif dari R5.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here