Bermula hari ini sehingga 4 April 2021, lorong kanan antara Kilometer (KM) 50.15 hingga KM 46.50 di laluan Simpang Renggam-Sedenak ditutup bagi semua kenderaan untuk kerja naik taraf.
Menurut PLUS Malaysia Berhad (PLUS), pelbagai usaha dilakukan pihaknya dari semasa ke semasa untuk meningkatkan tahap keselamatan di lebuh raya kendaliannya.
“Salah satu inisiatif adalah dengan menggantikan penghadang jalan besi di bahagian tengah lebuh raya kepada tembok penghadang konkrit secara berperingkat bagi mengelakkan insiden kenderaan berat terbabas dan memasuki laluan bertentangan,” kata PLUS.
“Bagi membolehkan kerja menaik taraf penghadang jalan dilaksanakan, lorong kanan di laluan yang terbabit perlu ditutup sementara dan sedikit lencongan jalan perlu dilakukan.
“Justeru itu, lorong kanan di antara Simpang Renggam dan Sedenak di KM50.15 hingga KM46.50 akan ditutup selama empat bulan kepada semua kenderaan bermula jam 11 pagi esok sehingga 4 April 2021,“ tambahnya.
Sepanjang tempoh berkenaan, trafik di laluan terbabit akan dilencongkan ke lorong kiri dan lorong kecemasan.
Pemandu yang menghala ke selatan dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan menggunakan aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini melalui paparan kamera litar tertutup (CCTV) disediakan.
Mereka juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh kakitangan PLUS ketika melalui kawasan terbabit.
PLUS mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pelanggan lebuh raya sepanjang tempoh penutupan lorong dan kerja menaik taraf sepanjang empat bulan itu.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar