Lexus Malaysia hari ini membawakan MPV eksekutif mewah, LM350. Ia direka dengan konsep Omotenashi yang pasti membuatkan anda tiba ke destinasi dengan cukup stailo!
Dari luar, Lexus LM350 nampak begitu mewah dengan grill spindle besar yang mendominasi muka depan, dan diapit dengan lampu LED ultra-kompak 3-beam. Mana-mana kereta yang nampak LM350 ini di cermin pandang belakang mereka, mesti akan ke tepi memberi laluan.
Lexus LM350 dikuasakan enjin 3.5-liter V6 quad cam yang mampu menjana 296hp dan 361Nm tork, dan kuasa disalurkan ke roda depan menggunakan transmisi automatik 8-kelajuan.
Seperti dijangka, bahagian dalam LM350 ialah tempat dimana anda lihat lebih banyak elemen mewah diberikan. Di depan, terdapat unit infotainmen bersaiz 12.3-inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Tempat duduk adalah dari kulit semi-aniline.
Untuk bos-bos dan penumpang VIP, tempat duduk belakang hanyalah dua sahaja (hanya empat tempat duduk keseluruhan). Jadi penumpang belakang akan mendapat tempat duduk lounge VIP dengan ruang kaki yang luas.
Tempat duduk Adaptipedic ini juga boleh dibaringkan sepenuhnya, dan mempunyai fungsi urut, serta dilengkapi rongga-rongga pendingin hawa atau pemanas yang boleh dikawal dengan sentuhan di konsol tengah.
Setiap perjalanan dalam Lexus LM350 tidak akan sunyi dengan adanya panel skrin HD 26-inci. Untuk pelengkap kepada sistem hiburan, LM350 mendapat sistem audio premium Mark Levinsion dengan 19 pembesar suara.
Untuk keselamatan pula, seperti model-model Lexus terkini yang lain, LM350 dibekalkan dengan Lexus Safety System + (LSS+).
Ia merangkumi Pre-Collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Tracing Assist (LTA), Lane Departure Alert (LDA), Adaptive High-Beam System (AHS) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA). Ciri keselamatan pasif termasuklah tujuh beg udara.
Ciri lain adalah panel kaca yang memisahkah ruang penumpang belakang dengan depan (seperti limosin) yang boleh dinaik atau diturunkan, rak majalah yang boleh dilipat, dan peti sejuk kecil untuk minuman.
Lexus LM350 bakal tiba di Malaysia pada Mei tahun depan, dan penyerahan kepada pemilik pertama menyusul pada bulan berikutnya.
Tempahan kini dibuka, dan Lexus LM350 dijual pada harga RM1,148,000 atas jalan tanpa insurans. Dua warna eskluskif boleh dipilih, Black dan White Pearl Crystal Shine. Dan semua kenderaan dijamin dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar