Sejak 25 tahun yang lalu, pakar model kereta premium Britain, Amalgam Collection telah menghasilkan beberapa replika kereta dengan skala paling terperinci di dunia, termasuk model McLaren Senna dan Bugatti Veyron 16.4 Grand Sport Vitesse.
Untuk koleksi terkini, syarikat itu menghasilkan replika Ferrari SF1000 dalam skala 1:8 dan 1:18. Ferrari SF1000 ialah jentera yang bertanding dalam kejuaraan Formula 1 2020.
Bagi menghasilkan replika tersebut dengan terperinci, Amalgam Collection bekerjasama dengan Scuderia Ferrari untuk menyertakan kemasan warna yang unik dan membangunkan reka bentuk sama seperti jentera Formula 1 sebenar.
Replika pertama jentera Formula 1 ini bahkan telah mendapat kelulusan dari pasukan kejuruteraan dan reka bentuk Ferrari.
“Hubungan kami dengan Ferrari dan semua pengeluar adalah berdasarkan kepercayaan dan hasil kerja,” kata Sandy Copeman, pengarah jenama Amalgam.
Replika dengan skala 1:8 dihasilkan hanya dihasilkan dalam 50 unit sahaja, masing-masing berharga USD9,058 (RM36.6k). Sekiranya harga tersebut terlalu mahal, anda boleh dapatkan replika dengan skala 1:18, dihasilkan dalam 500 unit dan setiap unit berharga USD792 (RM3.2k).