Di hujung-hujung tahun ini, tersebar pula di media sosial beberapa imej Proton Saga yang dipercayai versi R3.
Dikongsi oleh rakan media kami di Careta dan Funtasticko, Proton Saga yang berlandaskan model facelift 2019 itu nampaknya menerima sentuhan R3 Limited Edition.
Hanya imej-imej dalaman yang didapati buat masa ini, tiada imej luarannya. Selain dari kemasan trim berwarna kuning pada kluster meter dan pendingin hawa, unit infotainmen yang menyala itu juga nampaknya menerima grafik R3.
Roda stereng pula mendapat jahitan kuning, padan dengan kemasan pada papan pemuka.
Dapat dilihat pada tempat duduk yang masih berbalut plastik bahawa ia juga mendapat sulaman R3 Limited Edition.
Sebagai sebuah R3, anda pasti harapkan elemen sporti untuk aspek pemanduan seperti enjin, transmisi dan suspensi, bukan?
Jika anda amati pada kluster meter, terdapat nyalaan N menandakan ini unit dengan transmisi automatik.
Walaubagaimanapun, ada sumber kami mengatakan bahawa unit dalam imej ini adalah untuk pasaran eksport ke Pakistan. Menurutnya, Proton Saga R3 untuk pasaran Malaysia sudah lama siap dipasang.
Jadi, masih ada harapan untuk transmisi manual? Kita hanya boleh berharap. Sama-sama kita nantikan.
Jika ia dilengkapi spring talaan R3 serta kit badan agresif dan ekzos cat-back pasti lebih padu!
Maklumat lain seperti enjin masih belum didapati, tetapi kami jangka tiada perubahan prestasi pada enjin 1.3-liter VVT seperti terdapat pada Saga 2019 dan Anniversary Edition.
Ini bermakna ia dikuasakan enjin dengan 94hp dan 120Nm tork.
Apa pun, sekurang-kurangnya Proton membuatkan kita teruja dan tidak sabar memasuki tahun baharu. Pada pendapat anda, adakah Proton Saga R3 Limited Edition bakal mendapat transmisi manual?
Sumber imej: Careta.my
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar