Tempahan luar jangkaan untuk X50, Proton sasar 4,000 penghantaran untuk 2020

1725

Tempahan di luar jangkaan serta pandemik Covid-19 memberi kesan kepada proses pengeluaran dan pengedaran kenderaan baharu Proton.

Menurut CEO Proton Edar Sdn Bhd, Roslan Abdullah, paling terkesan ialah model X50 yang mendapat tempahan di luar jangkaan sejak tempahan dibuka pada 16 September lalu.



Katanya, terdapat lebih 30,000 tempahan telah dibuat untuk model tersebut dan sehingga kini, kira-kira 3,200 tempahan telah dihantar serta didaftarkan.

“Kami menyasarkan untuk menghantar 4,000 unit menje­lang 31 Disember. Ia konsisten dengan kenyataan saya sebelum ini,” katanya semalam (30 Disember).

Tambah Roslan lagi, pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelbagai peringkat yang dilaksanakan sejak Mac lalu turut mengganggu proses pengeluaran dan pengedaran kenderaan milik Proton.

Kata beliau, ada antara penjual yang tidak dapat beroperasi dalam kapasiti penuh sekali gus tidak dapat memenuhi tempahan yang dibuat.

“Ia reaksi rantaian bekalan, apabila penjual tidak dapat beri bekalan, kita juga tak dapat penuhi semua tempahan,” kata­nya.

Roslan menjelaskan, dalam keadaan ketika ini, mereka memerlukan masa kira-kira empat bulan untuk menyelesaikan penghantaran unit yang telah ditempah bermula 16 September lalu.

“Untuk tempahan yang baru masuk, mungkin kita perlukan enam hingga lapan bulan. Bagi tempahan yang dibuat sejak September lalu, kami harap dapat selesaikan dalam tempoh empat bulan, sehingga April tahun hadapan,” katanya.

Proton X50 dilancarkan pada 27 Oktober lalu melalui acara maya yang disiarkan secara langsung menerusi media sosial.

SUV kedua Proton itu dipasarkan dalam empat varian dengan julat harga antara RM79,200 hingga RM103,300 seunit dan memberi saingan terus kepada model seperti Honda HR-V, Toyota C-HR dan Mazda CX-3.

Sementara itu, menurut Roslan, antara faktor utama pe­ningkatan tempahan kenderaan terutamanya untuk Proton adalah pengecualian cukai jualan yang diberikan kerajaan melalui pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Kementerian Kewangan da­lam kenyataan kelmarin me­ngumumkan, pe­ngecualian cu­kai jualan untuk kenderaan import dilanjutkan bagi tempoh enam bulan lagi.

Menyedari sebahagian pe­langgan bakal menampung kenaikan harga, Proton Edar akan menghubungi setiap pelanggannya yang terkesan dan berusaha memberikan ganjaran kesetiaan kepada mereka.

“Kami belum boleh memberikan apa-apa perincian tetapi ada sesuatu yang akan diterima pelanggan,” katanya.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here