Boon Siew Honda kini memperkenalkan EX5 2021, sempena dengan ulang tahun ke-35 model lagenda tersebut.
Bagi meraikan ulang tahun dan pencapaian bersejarah ini, EX5 2021 kini hadir dengan logo khas dan corak stripe yang baharu.
Honda EX5 pertama kali bertapak dalam pasaran di Malaysia bermula tahun 1987. Dengan prestasi dan keupayaannya, Honda EX5 telah muncul sebagai motosikal paling popular selama bertahun-tahun.
Kini, sudah 34 tahun berlalu dan Honda EX5 nampaknya telah memikat hati lebih dari dua juta rakyat Malaysia. Motosikal ini muncul sebagai sebuah alat pengangkutan yang berpatutan, mampu milik, dan tahan lasak.
Honda EX5 2021 masih dikuasakan oleh enjin 110cc, sejukan udara, silinder tunggal yang mampu menghasilkan sehingga 8.54hp pada 7,500rpm dan 8.62Nm tork pada 5,500rpm.
Dilengkapi dengan Programmed Fuel Injection (PGM-Fi) dari Honda, motosikal ini mampu menawarkan penjimatan bahan bakar yang signifikan sekaligus mengurangkan pelepasan.
Model baharu ini hadir dengan dua pilihan varian iaitu Cast Wheel dan Spoke Wheel. Kedua-dua varian ini disediakan dalam dua pilihan warna iaitu Euphoria Red Metallic dan Pearl Nightfall Blue.
Harga bagi varian Cast Wheel ialah pada RM5,009 manakala varian Spoke Wheel berharga RM4,783.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai model baharu ini, orang ramai boleh mengunjungi pusat pengedar Honda, menghubungi talian bebas tol Boon Siew Honda di 1-800-88-3993 atau layari www.boonsiewhonda.com.my.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar