
Mulai hari ini, penguatkuasa akan mengambil tindakan tegas ke atas individu yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terutama berkaitan rentas negeri.
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelonggaran selama tiga hari telah diberikan kerajaan, terutama bagi pergerakan rentas negeri yang tamat semalam.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan bertolak ansur atau menggunakan budi bicara bagi individu dikenal pasti gagal mematuhi SOP berkenaan.
“Mulai hari ini, pihak polis akan mula bertindak tegas dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sekali pun yang gagal mematuhi SOP dikeluarkan, terutamanya berkaitan rentas negeri, kecuali sebab tertentu dibenarkan seperti kecemasan atau kematian,” kata Ismail Sabri.
“Jika orang ramai masih keliru dengan SOP serta senarai dibenarkan dan tidak dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), bolehlah kunjungi laman sesawang MKN atau hubungi hotline setiap agensi atau kementerian berkaitan,” tambahnya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar