Berdasarkan pengumuman oleh Perdana Menteri semalam, kerajaan bersetuju menyediakan bantuan khas secara sekali bayar atau ‘one-off‘ sebanyak RM500 kepada pemandu teksi, bas, perkhidmatan pengangkutan e-hailing dan pemandu pelancong.
Bantuan khas tersebut termasuk dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), yang diumumkan.
Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, bantuan membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta itu akan memanfaatkan 14,000 pemandu pelancong serta 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing.
Beliau juga mengumumkan, pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi dengan syarat kenderaan dimiliki selama tujuh tahun, turut dipendekkan tempoh berkenaan kepada hanya lima tahun.
“Kerajaan kini memberi layanan pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi dengan syarat kenderaan dimiliki selama tujuh tahun,” kata Muhyiddin.
“Sukacita dimaklumkan bahawa syarat ini dilonggarkan kepada lima tahun mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2021,” tambahnya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar