PKP 2.0: TGR Pusingan 1 Musim 4 ditunda

1118

UMW Toyota Motor (M) Sdn Bhd mengumumkan penundaan bagi Pusingan 1 Musim 4 bagi Toyota Vios Challenge yang dijadualkan berlangsung pada 28 hingga 30 Januari 2021 di Litar Antarabangsa Sepang.

Ia dibuat berdasarkan perkembangan terbaharu pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula 13 Januari 2021 yang dikenakan antaraya di Selangor dan Wilayah Persekutuan dan kini telah dilanjutkan hingga 4 Februari 2021.



Dukacita juga dimaklumkan bahawa tarikh baru bagi Pusingan 1 tersebut masih belum dapat ditentukan.

Bagaimanapun, UMW sentiasa berhubung rapat dengan kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan dalam memantau perkembangan pemulihan daripada peningkatan kes harian yang berlaku ketika ini.

“Dalam usaha kita untuk bersama-sama meratakan lengkung penyebaran pandemik Covid-19, kami menyedari kesannya terhadap negara seperti yang sedang kita depani ketika ini.

“Perlumbaan tersebut perlu dan akan diteruskan, tetapi tidak sehingga kita bersama-sama berhasil membendung ancaman Covid-19 agar keselamatan semua orang termasuk pelumba, ahli pasukan, pegawai bertugas, penonton serta semua pihak berkepentingan yang lain terjamin,” ujar Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor (M) Sdn Bhd dan Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama.

Selepas kejayaan tiga musim perlumbaan, Musim 4 Festival Toyota Gazoo Racing menjanjikan aksi dan penganjuran yang lebih menarik dengan pengenalan tiga siri perlumbaan berasingan (Toyota Vios Challenge, Gazoo Racing Vios Sprint dan Gazoo Racing Enduro Cup) dengan keseluruhannya melibatkan 11 perlumbaan.

Peningkatan penyertaan oleh pelumba muda dalam siri ini sepanjang tiga musim lalu juga telah mendorong syarikat untuk memperkenalkan Gazoo Racing School serta pengenalan Rookie Class di dalam Toyota Vios Challenge bagi pemandu berumur 14 hingga 20 tahun.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here