Seramai 17 individu termasuk sekumpulan penjawat awam masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 kerana melakukan aktiviti joging di Hutan Rekreasi Sungai Udang, Melaka, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali, semua individu berusia antara 13 hingga 41 tahun itu dikompaun di bawah Peraturan 10, Perintah Kawalan Pergerakan dan Penyakit Berjangkit 2021.
Beliau berkata, dalam kejadian sekitar jam 6 petang tersebut, sepasukan pemantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sedang melakukan rondaan, sebelum mendapati kira-kira 36 individu sedang melakukan aktiviti joging di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun ujarnya, 19 individu berjaya melarikan diri bagi mengelak dikenakan kompaun meskipun mereka sedia maklum semua taman rekreasi di negeri ini tidak boleh beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Dekat taman tu awalnya kita hendak tahan 36 orang, tetapi kita berjaya kompaun 17 sahaja, disebabkan dalam tempoh campur tangan tu, 19 lagi lari,” kata Abdul Majid.
“Dalam usaha yang kita sama-sama nak mengekang COVID-19 ni, di Melaka khususnya, episod macam ni tak sepatutnya berlaku.
“Saya ingin menegaskan sekali lagi, sebagai penguatkuasa, saya dan pegawai saya berpegang kepada rule of law, perlembagaan dan undang-undang yang ada dan kita akan jalankan amanah sepenuhnya untuk laksanakan undang-undang ini kerana kita bersama-sama Kerajaan Negeri Melaka bersama Ketua Menteri untuk kurangkan COVID-19 di Melaka ni,” tambahnya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar