Mencuri sebuah kenderaan di pusat pengedar pada waktu siang dengan suasana ramai orang sudah tentu bukanlah suatu tindakan yang bijak. Namun, kes seperti ini tetap berlaku di Brisbane, Australia.
Berdasarkan satu video yang tular di Reddit, seorang lelaki difahamkan nekad mencuri sebuah kenderaan. Dia dilihat memandu keluar sebuah Mitsubishi Outlander berwarna putih.
Masih tidak dapat dipastikan adakah lelaki tersebut baharu selesai melakukan pandu uji terhadap SUV tersebut atau tidak, namun dia dilihat berada di tempat duduk pemandu dan mengunci kesemua pintu.
Panik dengan situasi tersebut, beberapa pekerja di pusat pengedar berusaha mengarahkan lelaki tersebut untuk keluar dari SUV berkenaan.
Lelaki tersebut berkemungkinan tidak biasa memandu SUV tersebut berdasarkan tindakannya yang menekan pedal minyak walaupun kenderaan berada dalam keadaan neutral. Dia juga seakan tidak tahu bagaimana untuk melepaskan brek kecemasan.
Dia kemudian berjaya dihalang oleh sebuah Toyota Land Cruiser setelah melakukan pusingan-U.
WCGW Trying to steal a car straight from the dealership? from r/Whatcouldgowrong
Pekerja pusat pengedar kemudian memberikan amaran bahawa mereka akan memecahkan tingkap sekiranya lelaki tersebut tidak mahu keluar. Sementara lelaki tersebut masih enggan untuk keluar, seorang pekerja pusat pengedar bertindak memeceahkan cermin sebelah pemandu menggunakan satu objek besi.
Lelaki tersebut kemudian berjaya ditangkap dan sempat menyatakan dia tidak akan melarikan SUV tersebut.
Butiran lanjut mengenai kes ini masih belum dipastikan, dan berkemungkinan pihak polis sudah melakukan tindakan yang sepatutnya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar