Jepun dijangka melanjutkan tempoh darurat untuk menangani penularan Covid-19 minggu ini, kerana hospital masih mengalami tekanan walaupun terdapat penurunan kes, lapor media tempatan, hari ini.
Kerajaan akan memuktamadkan keputusan itu selepas mesyuarat panel pakarnya minggu ini, lapor penyiar awam NHK.
Bulan lalu, kerajaan mengisytiharkan keadaan darurat selama sebulan, dijadual berakhir semalam, bagi 11 daerah termasuk Tokyo dan wilayah jirannya, sebahagian daripada langkah mengendalikan pandemik.
Perdana Menteri, Yoshihide Suga sudah melancarkan beberapa langkah pencegahan gelombang jangkitan ketiga ketika kerajaannya bertekad menganjurkan Olimpik seperti dijadualkan pada 23 Julai.
Dalam perkembangan lain, Korea Selatan semalam mengumumkan mahu melanjutkan penguatkuasaan kawalan pergerakan dua minggu lagi sehingga berakhirnya Tahun Baharu Cina.
Pengumuman itu melenyapkan harapan sebelumnya bahawa kerajaan akan meredakan peraturan kawalan pergerakan meliputi tidak boleh memakan dalam restoran dan larangan perhimpunan lebih dari empat orang yang sudah dilaksanakan sejak awal Disember lalu.
Peraturan kawalan pergerakan itu dilanjutkan berikutan jumlah kes dalam kelompok jangkitan yang kebanyakannya dikaitkan dengan pusat keagamaan, meningkat, lapor agensi berita CNA.
Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDKC) melaporkan 355 kes baharu Covid-19 sehingga Sabtu lalu.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar