UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) secara rasmi melancarkan Toyota Innova 2021 dengan beberapa peningkatan dari segi penampilan serta tambahan sistem keselamatan yang ditawarkan sebagai ciri standard.
Sama seperti sebelumnya, Innova baru ini ditawarkan dalam tiga varian dengan harga anggaran seperti berikut:
- Toyota Innova 2.0X: Dari RM129,677
- Toyota Innova 2.0G: Dari RM121,483
- Toyota Innova 2.0E: Dari RM111,622
Enam warna ditawarkan — Medium Silver Metallic, Attitude Black Mica, Phantom Brown, Silver Metallic, Super White II dan Bronze Mica Metallic (baharu). Bagi Innova 2.0X, turut diberikan pilihan tambahan warna Crimson Spark Red Metallic.
Mengekalkan gaya crossover dengan kelebihan ruang dalaman yang fleksibel, Innova 2021 datang dengan perubahan kosmetik untuk bahagian depan yang memberikan penampilan lebih kemas dna segak.
Terdapat kemasan hitam dan krom pada gril, cermin sisi krom, dan lampu kabus dengan rekaan baharu.
Innova 2.0X yang merupakan varian tertinggi mendapat tambahan kemasan lengkuk tayar untuk gaya rugged, skirting yang lebih sporti, serta rim aloi 17-inci berwarna Dark Mica Metallic.
Kemasan pintu but belakang diberi rekaan baharu, sementara rel bumbung juga direka semula agar lebih aerodinamik.
Sistem infotainmen hadir dengan skrin sentuh 9-inci yang lebih besar, serta turut memaparkan ciri Panoramic View Monitor (PVM) yang kini menjadi ciri standard bagi Innova 2.0X dan Innova 2.0G.
Paparan PVM ini juga telah ditukar daripada jenis 2D kepada 3D untuk memberikan penglihatan yang lebih jelas.
Sebagai respon kepada maklum balas pelanggan, lebih banyak slot pengecas kini ditambah. Di depan tersedia dua port USB yang kini diletakkan pada papan pemuka berbanding di konsol tengah sebelum ini, serta port USB tambahan yang disediakan untuk kerusi barisan kedua dan ketiga.
Sebagai tambahan, pelantar pengecas tanpa wayar turut ada di bahagian konsol tengah sebagai ciri tambahan yang boleh dipilih ketika membuat tempahan.
Untuk keselamatan, Innova 2.0X dan 2.0G diberikan Blind Spot Monitor (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA) sebagai standard.
Semua varian juga dilengkapi tujuh beg udara, tali pinggang 3-poin di baris ketiga, ABS, EBD, Brake Assist, Vehicle Stability Control (VSC) dengan Traction Control (TRC), Emergency Stop Signal (ESS) dan Hill-start Assist Control (HAC).
Sebagi tambahan, Toyota Vehicle Telematics System (VTS) turut disediakan. Ia boleh mengesan pergerakan kenderaan menggunakan teknologi GPS dan GSM.
Sekiranya kenderaan dicuri, VTS Command Centre boleh mengesan lokasi kenderaan dan memaklumkan pihak berkuasa untuk mendapatkannya semula dalam masa yang singkat.
Sama seperti kebanyakan model yang ditawarkan oleh UMWT, jaminan lima-tahun diberikan tanpa had perbatuan, tertakluk kepada terma dan syarat seperti yang dinyatakan dalam buku panduan pemilik.
Tempahan boleh dibuat di semua bilik pameran Toyota seluruh negara serta secara dalam talian di build.toyota.com.my.
Lokasi semua bilik pameran boleh dirujuk di www.toyota.com.my atau dengan menghubungi talian bebas tol Toyota 1800-8-TOYOTA (869682).
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar