Polis mendapati masih ada individu yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan melakukan aktiviti berbasikal secara berkumpulan.
Perkara itu dikesan berlaku di beberapa lokasi di ibu negara yang menjadi tumpuan penggemar aktiviti berbasikal sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati orang awam yang gusar dengan trend penularan wabak Covid-19 yang masih belum reda.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, menerusi pemantauan pihaknya, hari ini mendapati masih ada mereka yang ingkar dengan mengayuh basikal secara berkumpulan.
“Mereka ini dikesan mengayuh basikal secara berkumpulan di sekitar Dataran Merdeka, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Jalan Ampang dan Jalan Merbok,” kata Mohamad Zainal.
“Kita juga menerima aduan daripada orang awam berhubung perkara itu, namun apabila polis tiba di lokasi yang dinyatakan, kumpulan pengayuh basikal berkenaan sudah beredar.
“Mereka ‘bernasib baik’ hari ini tetapi sekiranya perkara itu berlaku lagi, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas sesiapa jua yang melanggar SOP yang ditetapkan oleh kerajaan,” tambahnya.
Lanjut Mohamad Zainal, SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menetapkan aktiviti berbasikal hanya dibenarkan berseorangan dan kayuhan tidak melebihi 10km dari tempat tinggal.
Kayuhan berkumpulan adalah tidak dibenarkan sama sekali walaupun keluar dari rumah berseorangan.
Orang ramai yang didapati ingkar dan tidak mematuhi arahan ini khususnya yang berbasikal di sekitar bandaraya Kuala Lumpur akan diambil tindakan kompaun di atas ketidakpatuhan itu,.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menyalurkannya dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar