Lanjutan pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang sehingga 30 Jun ini mampu menjadi pemacu utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah keseluruhan industri (TIV) tahun ini.
Menurut Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, insentif yang diumumkan kerajaan itu sangat dinantikan pihak berkepentingan dalam sektor automotif susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan kali kedua dan situasi penularan Covid-19 yang masih membimbangkan ketika ini.
“MAA mengunjurkan TIV bagi tahun ini 570,000 unit, peningkatan lapan peratus atau 40,566 unit berbanding 2020 dengan 513,000 unit adalah daripada kenderaan penumpang, manakala 57,000 unit lagi adalah kenderaan komersial,” kata Aishah.
“Untuk separuh 2021, lanjutan pengecualian cukai jualan ini sememangnya membantu meningkatkan TIV. Insentif ini sangat diharapkan oleh semua yang terbabit dalam industri automotif.
“Ia juga sekali gus akan merancakkan jualan kereta penumpang enam bulan pertama 2021 dan menyumbang kepada peningkatan TIV tahun ini,” tambahnya.
Bulan lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) mengumumkan inisiatif lanjutan tempoh pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang sehingga 30 Jun 2021.
Lanjutan pengecualian cukai itu hadir selepas inisiatif diperkenalkan pada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) berakhir 31 Disember lalu merancakkan semula jualan kenderaan penumpang yang terjejas akibat wabak Covid-19.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar