Sekolah-sekolah memandu merayu kepada kerajaan agar dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Menurut pengerusi Persatuan Sekolah-Sekolah Memandu Bumiputera Kuala Lumpur dan Selangor, Harun Shafiee, pihaknya menghadapi kerugian RM4.2 juta sejak tahun lalu.
“Perbelanjaan bulanan kami lebih kurang RM480,000 sebulan. Apabila (diarah) tutup, kami langsung tidak mempunyai sebarang pendapatan,” kata Harun.
“Sekiranya perkara ini berterusan, kami terpaksa berhentikan atau memberi cuti tanpa gaji kepada mereka,” tambahnya dalam satu video yang dimuatnaik di laman Youtube Unit Latihan Imkeda.
Dia yang juga pengerusi Institut Memandu Kenderaan Darat (Imkeda) berkata, sekolah memandu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Ujarnya, sebanyak 230 cawangan Imkeda menanggung kira-kira 20,000 pekerja, selain terpaksa menanggung hutang kepada pihak bank.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar