Perbuatan merentas daerah dan negeri, mengabaikan penjarakan fizikal dan tidak memakai topeng muka terus menjadi kesalahan tertinggi direkodkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ia dapat dilihat apabila 203 kesalahan merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran, 167 kesalahan mengabaikan penjarakan fizikal, serta 117 kes tidak memakai pelitup muka direkodkan semalam.
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia disusuli kesalahan keluar rumah tanpa alasan munasabah (84 kes) dan gagal menyediakan peralatan merekod diri dan pelanggan (57).
Katanya, ia termasuk 22 kesalahan membawa penumpang berlebihan, premis beroperasi lebih masa dan tanpa kebenaran (12) serta aktiviti di pusat hiburan (lapan kes).
“Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 759 individu kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP dengan 715 dikompaun dan 44 direman kerana melakukan kesalahan terbabit,” kata Ismail Sabri.
Tambah Ismail Sabri, Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM juga membuat sebanyak 64,379 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP PKP.
Katanya, sebanyak 3,009 pasukan pematuhan membabitkan 13,910 anggota membuat pemantauan di 6,108 restoran; pasar raya (4,008); bank (3,814); penjaja (2,706); kilang (1,649) dan pejabat kerajaan (752).
“Turut dipantau 1,087 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (266) dan terminal pengangkutan udara (71),” lanjutnya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar