Seorang wanita berdepan detik cemas apabila anak lelakinya berusia tujuh tahun terperangkap di dalam kereta yang terkunci hampir sejam di hadapan kedai aksesori telefon di Taman Adda Height, Johor Bahru, semalam.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azhar Abd Aziz, ibu kanak-kanak terbabit masuk ke kedai aksesori telefon di situ dan meninggalkan anaknya di dalam kereta.
Katanya, ibu yang berusia 29 tahun itu berpesan kepada anaknya untuk menunggu di dalam Proton Iriz, bagaimanapun kanak-kanak itu tertidur di dalam kereta yang berkunci.
“Kereta itu menggunakan push button untuk menghidupkan enjin dan kunci kereta berada di dalam kenderaan terbabit,” kata Khairul Azhar.
“Selepas selesai berurusan di kedai aksesori telefon terbabit, wanita itu mendapati anaknya tertidur dan berusaha mengejutkan anaknya dibantu orang awam yang berada di lokasi kejadian, namun tidak berjaya,” tambahnya.
Katanya, seramai 12 anggota bomba bersama jentera dikerah ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.
“Kami mengambil masa sepuluh minit membuka pintu menggunakan peralatan khas. Kanak-kanak itu dikeluarkan dalam keadaan selamat,” lanjut Khairul Azhar.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar