Berebut parkir motosikal, lelaki pukul warga emas guna topi keledar

1125

“Kalau dia mahu parkir itu sekalipun kenapa perlu sampai tolak motosikal dan hayun topi keledar pada saya? Kenapa tak cakap baik-baik. Sanggup dia pukul orang tua,” kata Fauziah Ajid, 61.

gambar hiasan

Wanita itu meluahkan kekesalan selepas mendakwa dicederakan seorang lelaki tidak dikenali di tempat parkir motosikal sebuah premis perniagaan di Setiawan, semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, Fauziah mengalami bengkak di pipi kiri dan mulut pecah.



Menceritakan kembali kejadian, katanya, dia menunggang motosikal bersama seorang rakan untuk ke kedai berkenaan bagi membeli barang.

Menurutnya, dia memberhentikan motosikalnya seketika sebelum masuk parkir bagi memberi laluan kepada sebuah kereta yang mengundur dan ketika itu melihat lelaki berkenaan turut berhenti di belakangnya.

“Tiba-tiba lelaki itu menolak motosikal saya dan saya terus tanya kenapa dia buat begitu serta meminta dia bercakap baik-baik jika ada apa-apa.

“Tetapi dia hanya mendiamkan diri sebelum turun daripada motosikalnya dan terus menghayun topi keledar di bahagian muka kiri saya” tambah Fauziah.

Fauziah yang menghidap penyakit jantung selain darah tinggi, kencing manis dan masalah hati mengakui tindakan mengejut lelaki terbabit membuatkan jantungnya berdegup laju.

parkir motosikal

“Memang rasa geram sangat sebab dia buat begitu tanpa sebab. Ketika itu, saya rasa pening, menggigil badan dan seperti mahu tumbang tetapi saya gagahkan diri untuk mencarinya yang sudah masuk ke dalam kedai,” katanya.

Fauziah berkata, sebaik menemui lelaki itu, dia menanyakan sekali lagi punca serangan dan berniat untuk membela dirinya, namun lelaki itu didakwa tidak mengulas apa-apa.

“Tetapi apabila di luar kedai, dia mengugut saya dengan berkata ‘tunggu, aku akan cari engkau’.

“Saya terkilan kerana dia tak hormat orang tua sedangkan saya sudah boleh dianggap seperti ibunya kerana dia nampak masih muda dan yakin umurnya juga jauh beza dengan saya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sitiawan selepas kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang mengesan suspek terbabit.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mendapatkan perintah penyiasatan (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini punca kejadian disebabkan oleh (perebutan) tempat letak kenderaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here