Sebanyak 550 sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara masih dikekalkan walaupun sekatan pergerakan melebihi 10km dibatalkan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pada masa ini 276 SJR didirikan di kawasan persempadanan daerah di seluruh negara manakala 274 SJR lagi dibuat di lokasi persempadanan negeri dan Operasi Benteng (Op Benteng).
“Meskipun orang ramai bebas bergerak lebih 10km, mereka yang tidak mempunyai kebenaran untuk merentas daerah atau negeri hanya dibenarkan bergerak dalam daerah sahaja,” kata Acryl Sani.
“Polis masih meneruskan pemantauan terhadap pematuhan ini selain pergerakan masih menetapkan dua individu sahaja dalam satu kenderaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” tambahnya.
Lanjut Acryl Sani, penugasan penguatkuasaan polis bukan untuk menyusahkan orang ramai, tetapi bagi memastikan penularan Covid-19 dapat diputuskan seterusnya menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya mengenai perkembangan Covid-19 berkata, kerajaan membenarkan orang ramai melakukan pergerakan lebih 10 kilometer radius dari rumah masing-masing, tetapi mengekalkan larangan rentas daerah dan negeri.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar