Cubaan seorang pemandu di bawah pengaruh dadah melarikan diri daripada pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kampung Selamat, Tasek Gelugor gagal selepas dia ditahan polis pagi semalam.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, suspek yang memandu Proton Saga dari arah Padang Serai, Kedah dikatakan memecut kenderaannya selepas diarah berhenti untuk pemeriksaan.
Namun usahanya ternyata sia-sia selepas dia ditahan oleh polis yang mengejarnya sejauh 3km di Jalan Kubang Menerong.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, suspek yang berusia 21 tahun itu bukan sahaja memandu secara melulu malah perbuatannya juga membahayakan anggota SJR dan pengguna jalan raya lain.
“Ketika dia cuba melarikan diri, suspek melanggar kon dan lampu sekatan jalan raya sehingga pecah,” kata Noorzainy.
“Selain di bawah pengaruh dadah, suspek juga gagal menunjukkan surat kebenaran merentas negeri berikutan dia datang dari arah Padang Serai,” tambahnya.
Noorzainy berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan dia turut dikenakan kompaun kerana ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana merentas negeri tanpa kebenaran.
Katanya, suspek kini ditahan reman dan akan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar