Gordon Murray T.50s Niki Lauda, jentera litar berkuasa 725hp dengan harga RM17.6 juta

947

Gordon Murray Automotive kini memperkenalkan T.50s Niki Lauda, sebuah jentera edisi terhad khas untuk kegunaan litar yang dihasilkan sempena ulang tahun bekas juara dunia Formula 1 tiga kali, Niki Lauda.

Ianya bakal dihasilkan setelah 100 unit model T.50 versi jalanan siap sepenuhnya pada Januari 2023, dan akan hanya dikeluarkan dalam 25 unit sahaja.



Jentera ini memiliki berat 852kg sahaja, selain dikuasakan oleh enjin V12 3.9-liter naturally aspirated yang mampu menghasilkan sehingga 725hp dan putaran enjin setinggi 12,100rpm.

Enjin ini juga dilengkapi dengan kotak induksi RAM yang dipasang pada bahagian bumbung, sistem ekzos straight-through khas, kepala silinder dan camshaft yang dirombak semula dan sistem transmisi X-Trac 6-kelajuan dengan paddle-shift.

Panel luaran jentera ini unik untuk varian T.50s sahaja, dan diperbuat daripada bahan gentian karbon yang ultra-ringan, sementara cermin pula menggunakan bahan yang lebih ringan.

Beberapa penambahbaikan dibuat seperti contoh spring, penyerap hentak dan bar anti-oleng telah dinaiktaraf, sementara ketinggian jentera direndahkan sebanyak 87mm di hadapan, dan 116mm di bahagian belakang.

Beberapa penampilan luaran masih dikekalkan dan dinaik taraf, seperti  kipas 400mm di bahagian belakang yang ditambah dengan ciri seperti diffuser belakang yang lebih besar, serta pemasangan ‘delta wing‘.

Bahagian hadapan pula dilengkapi dengan barge board untuk meningkatkan aliran udara ke bahagian sisi, dive plane dan splitter yang lebih besar.

Menurut Gordon Murray Automotive, model T.50s ini berupaya menjana sehingga 1,500kg downforce.

Ruangan dalam jentera ini masih menampilkan kedudukan pemandu di bahagian tengah, dengan kerusi bucket penuh yang diperbuat daripada gentian karbon.

Penumpang nampaknya perlu duduk seorang di sebelah kiri belakang pemandu, ini kerana di bahagian kanan terdapat sistem pemadam kebakaran, dan kehadiran panel suis yang diposisikan menegak di bahagian kanan hadapan pemandu.

Setiap 25 pemilik T.50s Niki Lauda akan mendapat perkhidmatan khas dan Trackspeed Package yang merangkumi sokongan kejuruteraan dan peralatan yang diperlukan untuk kegunaan dalam litar.

Dengan harga bermula dari £3.1 juta (RM17.6 juta), Niki Lauda GMA T.50 ini merupakan antara jentera kegunaan litar paling eksklusif yang yang pernah dihasilkan.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here