BMW Motorrad lancar dua jentera R 18 Classic dan S 1000 RR, dari RM122k

1307

BMW Motorrad Malaysia hari ini melancarkan sebuah jentera kruiser dan superbike, iaitu R 18 Classic dan S 1000 RR.

Kedua-dua jentera ini dijual pada harga seperti berikut:



  • BMW R 18 Classic: RM154,500
  • BMW S 1000 RR: RM121,500

BMW R 18 Classic

Kruiser mewah ini dikemaskan dengan gabungan warna Black Storm Metallic, dan diselangi dengan warna krom pada bar hendal, tuil penukar gear, pelitup hendal, pelitup enjin, dan komponen salur kemasukan udara.

Gaya ini mengambil inspirasi dari R 18 First Edition yang diperkenalkan tahun lepas.

Ciri luaran lain adalah lampu LED penuh di depan dan belakang, pelitup enjin dengan kemasan machined berkualiti dari aluminium, dan menampilkan kontras warna menarik antara hitam dan perak.

Nadi kepada BMW R 18 ini ialah enjin boxer dengan kapasiti terbesar pernah dibangunkan oleh BMW. Unit 1,802cc ini menjana 91hp, serta tork maksima 158Nm pada 3,000rpm sahaja. Transmisi pula ialah 6-kelajuan dengan gear undur. Kelajuan maksima ialah sehingga 180km/j.

Untuk sistem suspensi, R 18 dibina dengan rangka keluli bersangga kembar berserta palang bawah yang disatukan dengan skru.

Terdapat fork teleskopik klasik di depan, dan fork berayun dengan penyerap hentak tengah untuk belakang. Penstabil hendal didatangkan sebagai standard.

Brek terdiri dari cakera 300mm di depan dengan empat piston, dan cakera tunggal di belakang.

Selain dari Automatic Stability Control, anda boleh memilih tiga mod tunggangan kruiser ini iaitu, Rock, Roll dan Rain. Rock and Roll ke? Dah macam nama muzik, kami pun tak tahu. Tapi macam padan saja dengan jiwa kruiser ini kan?

Varian baharu ini turut dilengkapi dengan kawal tork seretan enjin (MSR), Kawalan Brek Dinamik, serta fungsi kawalan luncur elektronik sebagai standard.

Untuk anda yang mahukan lebih eksklusiviti pada R 18 ini, bolehlah menambah aksesori seperti aneka pilihan tempat duduk, bar hendal, pelitup injap, plat dada enjin, ruang muatan dan pelbagai aksesori kustom lain.

 

BMW S 1000 RR

Kini kita beralih pula kepada jentera berprestasi tinggi dengan aspirasi tunggangan di litar lumba. Tiga warna boleh dipilih: Hockenheim Silver, Blackstorm Metallic, serta kombinasi antara Light White, Racing Blue Metallic dan Racing Red (BMW Motorrad Motorsport untuk M Package).

BMW S 1000 RR baharu menampilkan teknologi LED di lampu hadapan dan belakang, berserta dengan lampu membelok LED yang baharu.

Kuasa dan prestasi dibekalkan oleh enjin 999cc 4-lejang 4-silinder dengan 207hp pada 13,500rpm dan 113Nm tork pada 11,000rpm.

Empat mod tunggangan disediakan untuk disesuaikan dalam pelbagai situasi iaitu Rain, Road, Dynamic dan Race. Mod-mod ini akan mengawal parameter seperti Dynamic Traction Control dan ABS Pro.

Di depan penunggang ialah skrin TFT 6.5-inci yang dihubungkan oleh Multi Controller di hendal sebelah kiri.

Skrin ini turut menyokong fungsi Connectivity untuk pemain muzik dan panggilan telefon. Menerusi BMW Motorrad Connected App, penunggang juga boleh mengakses statistik tunggangan selepas setiap tunggangan.

BMW S 1000 RR juga ditawarkan dengan kelengkapan pilihan tambahan dari BMW M yang merangkumi aksesori seperti roda karbon, tempat duduk sport, bateri lebih ringan, peletak kaki karbon, M Datalogger dan Laptrigger.

BMW S 1000 RR baharu akan disediakan di semua pusat pengedaran BMW Motorrad yang bertauliah di seluruh negara mulai 26 Februari 2021.

Para pemilik juga boleh menikmati manfaat-manfaat tambahan dengan rangkaian servis yang bertaraf tinggi seperti Inklusif Minyak Enjin Premium, Inklusif Servis dan Program Lanjutan Waranti oleh BMW Motorrad Malaysia. Maklumat lanjut mengenai program tersebut boleh didapati di https://www.bmw-motorrad.com.my/en/service/warranty.html.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here