Legenda bola speak Brazil, Zico masih memandu Toyota Celica yang dimenanginya 40 tahun lepas, yang merupakan hadiah Man of the Match ketika menentang pasukan Liverpool.
Pemain posisi tengah itu menerima Toyota Celica setelah berjaya membantu pasukannya iaitu Flamengo menewaskan pasukan Liverpool dengan keputusan 3-0 dalam perlawanan akhir Piala Intercontinental 1981 yang berlangsung di Jepun.
Zico kini masih lagi menyimpan kereta tersebut sehingga ke hari ini, dan bahkan memandunya di sekitar Rio de Janeiro. Menurut Zico, kereta tersebut juga sudah beberapa kali ‘dirisik’, namun dia belum bersedia untuk menjualnya.
“Saya telah menerima banyak tawaran untuk menjual Celica ini, tetapi hal tersebut tidak pernah terlintas dalam fikiran saya,” kata Zico.
“Ini adalah trofi hebat, kenangan hebat, ini adalah pertandingan paling penting yang dimenangi Flamengo setakat ini,” tambahnya.
Lanjut Zico, kereta tersebut masih berada dalam keadaan baik walaupun sudah berusia 40 tahun dan dia tidak akan menjualnya selagi dia masih hidup.
Sebelum ini, Zico difahamkan mengalami masalah ketika dalam proses membawa masuk Toyota Celica tersebut ke Brazil kerana peraturan import negara tersebut sangat ketat.
Antara tahun 1976-1990, hanya orang yang bekerja di kedutaan dan konsulat sahaja dibenarkan untuk membawa masuk kenderaan dari luar negara Brazil.
“Untuk membawa Celica masuk ke Brazil, saya harus meminta bantuan dari beberapa orang, seperti Menteri Kewangan pada masa itu, Francisco Dornelles, Carlos Langoni, presiden Bank Pusat, dan Marcio Braga, yang merupakan presiden Flamengo dari 1977 hingga 1980,” lanjut Zico.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar