Polis mengeluarkan saman terhadap seorang warga emas kerana memandu kereta di laluan motosikal dekat Lebuhraya Grand Saga, Kajang, pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 10:55 pagi itu, lelaki berusia 78 tahun itu memandu sebuah Mercedes-Benz yang difahamkan dalam perjalanan dari Balakong menghala ke ibu negara.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, hasil siasatan mendapati pemandu itu tersilap masuk laluan motosikal di Plaza Tol Batu 11.
“Pemandu terbabit dikesan di rumahnya. Warga emas itu dilihat kurang sihat dan mengakui tersilap masuk lorong motosikal,” kata Mohd Zaid.
“Kejadian itu tidak membabitkan sebarang kemalangan dan tindakan saman dikeluarkan mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengabaikan isyarat lalu lintas,” tambahnya.