Toyota Corolla Cross dilancar, TNGA, 1.8-liter dan CVT, dari RM124k

2221

Setelah dilancar di Thailand tahun lepas, Toyota Corolla Cross kini tiba di Malaysia secara rasmi. UMW Toyota Motor mengumumkan penawaran Corolla Cross di sini dengan pilihan dua varian seperti berikut:

  • Corolla Cross 1.8G: RM124,000
  • Corolla Cross 1.8V: RM134,000

Harga adalah atas jalan, tanpa insurans.



Untuk yang kurang jelas, ya benar, ini kali pertama Toyota Corolla hadir dalam bentuk badan SUV. Sebelum ini, nama Corolla hanya terkenal dengan bentuk sedan, coupe, wagon dan hatchback.

Di pasaran Malaysia, Corolla Cross akan menggantikan tempat C-HR yang kini tidak dijual lagi. Kedua-dua model ini menggunakan platform TNGA (Toyota New Global Architecture), cuma Corolla Cross menggunakan suspensi belakang torsion beam yang lebih rendah kos berbanding C-HR yang menggunakan double-wishbone.

Corolla Cross juga mempunyai jarak roda sama dengan C-HR iaitu 2,640mm, tetapi ia 100mm lebih panjang, 30mm lebih lebar dan 55mm lebih tinggi.

Berbanding Corolla Altis sedan pula, SUV kompak ini lebih pendek, tetapi lebih lebar dan lebih tinggi.

Toyota Corolla Cross menampilkan rekaan unik dengan gril depan trapezoidal, lampu depan dan belakang nipis, dan fender cembung yang agak ketara. Rekaan bersegi pada fender ini secara tidak langsung memberi imej rugged pada SUV ini.

Varian 1.8G didatangkan dengan lampu halogen, manakala 1.8V dengan unit bi-LED dan DRL.

Dari segi dalaman, papan pemukanya berkongsi dengan Corolla Altis sedan. Jadi ia mendapat kelengkapan seperti paparan instrumen 7-inci dan pendingin hawa dwi-zon. Sistem infotainmen pula lengkap dengan kamera undur serta sambungan Bluetooth, Android Auto dan Apple CarPlay.

Untuk kedua-dua varian G dan V, Corolla Cross dipacu enjin 1.8-liter Dual VVT-i 2ZR-FE yang digabungkan dengan transmisi CVT. Powertrain ini serupa dengan Corolla Altis sedan dan C-HR, menghasilkan 139hp dan 172Nm tork.

Salah satu ciri utama pada Corolla Cross ini ialah kapasiti kargonya yang dikatakan paling besar dalam segmennya, iaitu 440 liter. Pintu kargo belakang adalah berkuasa dengan ciri pengesan gerak kaki (kick motion).

Toyota juga berkata Corolla Cross mempunyai radius pusingan paling kecil dalam kelasnya, iaitu hanya 5.2 meter. Ini pasti memudahkan pengemudian di dalam bandar.

Dari segi keselamatan, Corolla Cross mendapat TSS 2.0 (Toyota Safety Sense) (varian 1.8V sahaja) yang merangkumi:

  • Pre-Collision System (PCS)
  • Lane Departure Alert (LDA) dengan Steering Assist
  • Dynamic Radar Cruise Control (DRCC)
  • Lane Tracing Assist (LTA)
  • Automatic High Beam (AHB)
  • Blind Spot Monitor (BSM) dengan Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • Tyre Pressure Warning System (TPWS)

Ciri lain adalah tujuh beg udara dan penarafan 5-bintang untuk ASEAN NCAP.

Corolla Cross boleh dipilih dengan lima pilihan warna iaitu Red Mica Metallic, Platinum White Pearl, Metalstream Metallic, Graphite Metallic dan Nebula Blue Metallic.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here