Sime Darby Motors hari ini melancarkan fasiliti automotif iaitu Sime Darby Motors City. Terletak di Ara Damansara, Petaling Jaya, ia disasarkan untuk menjadi pusat sehenti automotif utama di Malaysia.
Dikatakan sebagai kompleks automotif terbesar di Asia Tenggara, ia lengkap dengan ruang-ruang pameran terbesar untuk jenama-jenama kenderaan terkemuka di rantau ini.
Sime Darby Motors City mempunyai bangunan lapan tingkat dengan luas keseluruhan 1.3 juta kaki persegi yang dibangunkan di atas tapak seluas 8.6 ekar.
Kompleks ini menempatkan enam pusat jualan utama yang menampilkan sepuluh jenama perdana di Malaysia yang diwakili oleh Sime Darby Motors.
Jenama-jenama tersebut adalah BMW, Ford, Hyundai, Jaguar, Land Rover, MINI, Motorrad, Porsche dan Volvo.
Ia juga mempunyai fasiliti di dalam bangunan yang mampu menyimpan hampir 100 unit kenderaan terpakai, khusus untuk Sime Darby Auto Selection.
Fasiliti ini mampu memuatkan hampir 200 petak servis, lebih kurang 700 petak parkir untuk pelanggan dan petak mengecas kenderaan elektrik (EV) dan mampu mempamerkan lebih 180 unit kenderaan.
Fasiliti ini dimantapkan lagi dengan adanya hampir 60 orang juruteknik Auto Bavaria untuk BMW, MINI dan Motorrad dan lebih daripada 110 juruteknik bertauliah secara keseluruhannya.
Ini termasuk juruteknik-juruteknik yang mempunyai kelayakan tertinggi daripada jenama terkemuka termasuk Zertifizierter Porsche Techniker Gold Certification, di mana kelayakan ini diselaraskan untuk para juruteknik Porsche seluruh dunia.
Jenama seperti Ford, Hyundai, Jaguar dan Land Rover juga mempunyai pensijilannya dan kelayakan latihan tertingginya dikenali sebagai Master Technicians.
Kompleks automotif pertama di Malaysia dengan Internet of Things (IoT)
Pusat Automotif Sime Darby Malaysia merupakan fasiliti automotif pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi Internet Benda (IoT).
ia mampu meningkatkan keupayaan servis, dan menggalakkan peningkatan Sime Darby Motors dengan menambah kecekapan dalam memberikan khidmat terbaik kepada para pelanggan.
Tumpuan infrastruktur digital di fasiliti ini ialah sistem Pengurusan Pengesanan Kenderaan yang menggunakan kamera untuk panduan parkir dan penunjuk-penunjuk tersuai bagi memastikan panduan, keselamatan dan keselesaan yang terbaik untuk para pelanggan.
Ini membolehkan pengambilan kenderaan selepas selesai servis lebih lancar. Infrastuktur digital fasiliti ini juga menyatakan status setiap kenderaan dalam masa nyata bagi memastikan lebih kecekapan dicapai.
Kamera Pengecaman Nombor Plet Automatik yang dikuasakan secara IoT turut disepadukan dalam sistem daftar kendiri tanpa sentuhan, membolehkan maklumat janji temu para pelanggan terus diakses sebaik sahaja mereka tiba.
Bagi memantapkan lagi pengalaman pelanggan dari segi khidmat selepas jualan, Sime Darby Motors turut mendigitalkan cabang ini untuk wakil-wakil penjualnya.
Tawaran Tiga-Hari sempena Pelancaran
Sempena sambutan pelancaran, Sime Darby Motors City menganjurkan Pelancaran Hujung Minggu Mega (Grand Launch Weekend) yang akan berlangsung bermula 16 April hingga 18 April 2021 di enam ruang pameran utama.
Para pelanggan yang berminat digalakkan untuk menempah janji temu, sebagai langkah mematuhi prosedur operasi standard COVID-19 bagi kawalan kumpulan dan penjarakan fizikal.
“Para pelanggan yang datang pada hujung minggu ini nanti juga berpeluang merebut tawaran-tawaran menarik, di samping memanfaatkan pengecualian cukai jualan kenderaan yang akan berakhir pada Jun 2021 ini,” kata Jeffrey Gan, Pengarah Urusan, Jualan Runcit dan Pengedaran Malaysia, Sime Darby Motors.
Sime Darby Motors City terletak di No.6, Jalan PJU 1A/7, Ara Damansara, 47301 Petaling Jaya, Selangor, lebih kurang 7 minit dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Untuk maklumat lanjut, layari www.simedarbymotors.com.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar