Porsche 911 Turbo S ialah model serba boleh yang terletak di puncak rangkaian model sports itu, dan ia kini secara rasmi mendarat di Malaysia.
Dilancarkan oleh Sime Darby Auto Performance (SDAP), Porsche 911 Turbo S generasi terkini 992 membawakan beberapa pembaharuan dan penambahbaikan.
Ia kini 68hp dan 50Nm lebih berkuasa, mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam 2.7 saat sahaja dan 200km/j dicapai dalam 8.9 saat. 911 Turbo S 2021 ini juga model generasi 992 paling berkuasa.
Prestasi ini dapat dicapai dari sistem penyejukan udara caj yang dirombak semula serta sistem kemasukan udara baharu yang memberi lebih kecekapan enjin.
Dari segi rupanya, 911 Turbo S serba baharu ini 42mm lebih lebar di depan dan 10mm lebih lebar di belakang.
Porsche Active Aerodynamics (PAA) memberikan karakter aerodinamik berbeza mengikut kelajuan dan mod pemanduan. PAA akan melaras flap penyejuk udara dan lip di depan, serta spoiler belakang untuk tujuan ini.
Kelengkapan luaran lain adalah lampu LED matriks dengan kemasan gelap, bahagian pinggul lebar dengan ruang kemasukan udara, dan ekzos petak baharu berwarna hitam.
Buat pertama kali, 911 Turbo menggunakan saiz rim berbeza depan dan belakang, iaitu 20- dan 21-inci. Tayar adalah 255/35 depan, dan 315/30 di belakang.
Seperti 911 Carrera, terdapat juga mod Wet yang baharu pada 992 ini yang akan memberikan lebih kestabilan dalam pemanduan basah. Spoiler belakang akan dinaikkan dalam mod ini.
Semasa membrek dari kelajuan tinggi, spoiler belakang ini akan menjadi airbrake (brek udara) secara automatik. Spoiler depan dan sayap belakang ini diubah ke mod Performance untuk kestabilan maksima dan memendekkan jarak brek.
Enjin 6-silinder 3.8-liter turbo menampilkan penambahbaikan dari segi kemasukan, penyejukan, aliran udara dan kecekapan.
Unit ini menjana 650hp dan 800Nm tork, dan kuasa dihantar ke permukaan jalan melalui transmisi dwi-klac PDK 8-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda Porsche Traction Management (PTM).
Di bahagian kabin pula, kelengkapan standard adalah balutan kulit sepenuhnya dengan kemasan Light Silver.
Tempat duduk adalah jenis sports dengan 18 pelarasan, dan terdapat jahitan retro dari 911 Turbo generasi 930.
Ciri lain adalah skrin tengah bersaiz 10.9-inci, roda stereng GT sports, pakej Sport Chrono dengan aplikasi Porsche Track Precision dan sistem audio BOSE Surround Sound.
Porsche 911 Turbo S 2021 ini boleh menjadi milik anda dengan harga RM2,235,463 dalam tempoh pengecualian cukai SST.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar