Perodua Aruz kini secara rasmi memasuki pasaran eksport pertamanya – Singapura – dengan harga pelancaran SGD92,999 (RM286,409) termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Certificate of Entitlement (COE).
“Kami berbesar hati dapat berkongsi kelebihan Aruz – antaranya ruang yang luas, tahap keselamatan yang tinggi, serba boleh, praktikal dan cekap bahan api – dengan jiran selatan kita,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
“Dengan jualan hampir 58,000 unit di Malaysia sejak pelancarannya pada 2019, Perodua Aruz merupakan SUV terlaris di Malaysia pada 2019 dan 2020,” katanya.
Tiada beza dari spesifikasi, ia dikuaskan enjin 1.5-liter 4-silinder Dual VVT-i dengan 101hp dan 133Nm tork, dipadankan dengan transmisi automatik 4-kelajuan.
Enjin aluminium ini dilengkapi ciri Eco Idle untuk memberi kecekapan bahan api sehingga 15.6 km/liter.
Barisan tempat duduk kedua yang dibahagi 60:40 serta barisan ketiga yang dibahagi 50:50 boleh dilaras, dilipat dan digolek untuk menghasilkan pelbagai konfigurasi.
Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), ISOFIX dan enam beg udara menyumbang kepada penarafan keselamatan 5-bintang ASEAN NCAP.
Kelengkapan lain termasuk lampu hadapan LED, rim aloi dwi-tona 17-inci, kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, serta sistem infotainment skrin sesentuh dengan paparan kamera undur.
Perodua Aruz dijual oleh Perocom Auto Pte Ltd di pusat jualan dan servisnya di Ubi.
Merupakan pengedar sah Perodua yang tunggal di Singapura sejak 1997, Perocom Auto telah menjual Kancil, Kembara, Kelisa, Myvi generasi pertama dan ketiga, Viva, Axia dan Bezza di sana.
Selain Singapura, Perodua juga mengeksport ke Brunei, Sri Lanka, Mauritius, Seychelles, Fiji dan Indonesia (di mana Myvi dijual sebagai Daihatsu Sirion).
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar