Sebuah syarikat dari Jerman yang dikenali sebagai Elektron Motors baru sahaja mendedahkan perincian sebuah hypercar elektrik yang diberi nama Quasar.
Menurut Elektron, hypercar Quasar akan menampilkan gabungan empat motor elektrik yang mampu menghasilkan sehingga 2,300hp, dimana output ini lebih besar dari Rimac C_Two, Pininfarina Battista, dan Lotus Evija.
Selain mampu menghasilkan kuasa yang mengagumkan, Elektron menegaskan bahawa hypercar ini mempunyai berat hanya 1,500kg.
Butiran mengenai bateri Quasar masih belum didedahkan, tetapi Elektron menyatakan hypercar ini mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 1.65 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum (yang dihadkan) pada 450km/j. Bayangkan jika pengehad itu ditutup, berapa agaknya kelajuan yang mampu dicapai?
Berdasarkan gambar yang dikeluarkan, reka bentuk Quasar dilihat agak menarik dan seolah-olah diilhamkan dari Koenigsegg Jesko.
Quasar dilengkapi dengan lampu hadapan bersegi dan lampu DRL LED yang melengkung pada bonet hadapan. Hypercar ini juga disertakan dengan canard dan splitter dari gentian karbon.
Selain itu, ia mendapat rekaan cermin depan dan bumbung melengkung yang juga serupa dengan kebanyakan Koenigsegg. Inspirasi ini diteruskan lagi pada bonet hadapan, shark fin dan spoiler belakang.
Ruangan dalam pula menampilkan meter digital, skrin infotainmen besar yang digabungkan ke papan pemuka, dan paparan pada penumpang hadapan.
Elektron Motors menyatakan bahawa Quasar akan diperkenalkan pada tahun 2023 dan hanya akan dihasilkan sebanyak 99 unit.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar