Sebuah Lamborghini Urus yang dinaiki tiga sekeluarga musnah terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 178.1, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Kuantan, lewat petang semalam.
Difahamkan kenderaan dipandu lelaki berusia 28 tahun itu sedang menghala ke Terengganu sebelum dipercayai terbabas dan terbakar di lokasi berkenaan.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Maran, Samsul Effendi Sulaiman, mangsa bersama isteri dan seorang anak berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari Lamborghini Urus itu sebelum ia terbakar.
“Kemalangan ini dilaporkan jam 6.16 petang (semalam) membabitkan sebuah kenderaan jenis Lamborghini dan ketika kejadian, pemandu berusia 28 tahun, isteri dan seorang anak mereka sempat menyelamatkan diri,” kata Samsul Effendi.
“Kenderaan itu dipercayai terbabas ketika tiba di lokasi kejadian sebelum terbakar.
“Susulan daripada maklumat diterima, sembilan anggota dari BBP Maran bersama jentera dan ambulan ke lokasi untuk operasi menyelamat,” tambahnya.
Lanjut Samsul Effendi, pegawai dan anggota bomba cuba memadamkan kebakaran SUV itu, namun gagal berikutan api marak terlalu cepat menyaksikan Lamborghini Urus terbabit musnah sepenuhnya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar