Malaysia Aviation Group (MAG) akan menamatkan perkhidmatan semua pesawat Airbus A380 milik anak syarikatnya, Malaysia Airlines (MAS) menjelang hujung tahun ini.
CEO MAG, Kapten Izham Ismail berkata, kumpulan itu sedang melihat kepada cara untuk mengeluarkan kesemua enam unit jet superjumbo itu dari barisan pesawat mereka.
Izham berkata kumpulan itu “menghantar cadangan” itu kepada lembaga pengarah dan menjangka akan menerima kelulusan tidak lama lagi.
“Pengurusan telah mengesyorkan lembaga dan pemegang saham rancangannya untuk tidak lagi menggunakan A380. Kami menyedari akan cabaran-cabaran untuk menjual pesawat itu,” katanya.
Izham berkata pengurusan MAG yakin bahawa A380 tidak menepati rancangan masa depan syarikat penerbangan itu.
“A380 tidak mempunyai tempat. Kami merancang untuk menamatkan khidmat kesemuanya dalam bulan-bulan akan datang,” tambahnya.
Malaysia Airlines telah menggunakan A380 untuk penerbangan umrah dan haji di bawah Projek Amal pada suku ketiga 2018.
Pesawat dua-tingkat itu dilihat tidak menguntungkan MAG, dan akan dikeluarkan lalu diganti dengan A350 untuk laluan London-Kuala Lumpur.
MAG terdahulu melancarkan kempen wide-body (pesawat dengan badan lebar), yang kebanyakannya dipelopori oleh A330 yang sudah semakin berusia. Kempen itu mensasarkan pesawat jarak sederhana dan jauh.
Izham berkata kempen ini akan bermula pada 2023 dan mula memasuki perkhidmatan pada 2025 atau 2026.
MAG dilaporkan akan mempunyai 83 pesawat yang terdiri dari 54 unit narrow-body dan 29 unit wide-body menjelang 2025.
Izham juga berkata MAG komited untuk menerima Boeing 737 MAX pada 2024 dan menerokai kemungkinan ia dapat diawalkan iaitu pada separuh masa kedua 2023.
“Kami berharap semua isu-isu melibatkan B737 MAX akan diselesaikan memandangkan pesawat itu sudahpun terbang,” katanya.
Menurut Izham, penghantaran 25 unit 737 MAX akan dibuat dalam tiga atau empat tahun dan keyakinan pengguna harap dapat kembali.
MAG pada awalnya sepatutnya menerima B737 MAX pada Julai 2020, tetapi operasi pesawat itu dihentikan seluruh dunia berikutan dua kemalangan akibat dari masalah teknikal.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar