Perodua Malaysia kini memperbaharui model Aruz untuk tahun 2021, tanpa melibatkan sebarang perubahan harga, iaitu iaitu RM68,526 untuk varian X dan RM73,226 untuk varian AV, atas jalan sebelum insurans (Semenanjung Malaysia).
Kedua-dua varian kini dilengkapi dengan pemijak sisi bagi memudahkan penumpang masuk dan keluar, serta penguncian pintu automatik apabila kelajuan melebihi 20 km/j (pintu akan dibuka secara automatik sekiranya berlaku perlanggaran).
Warna baharu juga turut ditawarkan, iaitu Passion Red (eksklusif untuk varian AV), bersama dengan warna sedia ada iaitu Granite Grey, Electric Blue, Glittering Silver dan Ivory White.
Perodua Aruz menawarkan ruang yang luas, tahap keselamatan yang tinggi, serba boleh, praktikaliti dan kos pemilikan yang rendah dalam bentuk tujuh tempat duduk yang kompak.
SUV ini dikuasakan oleh enjin 4-silinder 1.5-liter Dual VVT-i yang digabungkan dengan transmisi automatik kawalan elektronik dan Eco Idle. Selain itu, kecekapan bahan api pula sehingga 15.6 km/l, menjadikan Aruz sebuah Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).
Barisan tempat duduk kedua yang dibahagi 60:40 serta barisan ketiga yang dibahagi 50:50 boleh dilaras, dilipat dan digolek untuk menghasilkan pelbagai konfigurasi.
Dengan enam beg udara dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) yang terdapat pada semua varian, serta sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 2.0 pada varian AV, Perodua Aruz mendapat penarafan keselamatan maksimum lima-bintang dari ASEAN NCAP.
Lampu hadapan LED, rim aloi dwi-tona 17-inci, kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, serta sistem infohiburan skrin sesentuh dengan paparan kamera undur terdapat pada semua varian.
Varian AV pula ditambah dengan lampu automatik, lampu kabus hadapan, kerusi kulit, HDMI, Smart Link, navigasi dan perakam video pemanduan.
“Antara semua model kami, Perodua Aruz menikmati penurunan harga yang paling curam akibat pengecualian cukai jualan kerajaan, iaitu sebanyak 6 peratus, atau lebih RM4,000,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar