Pemain bola sepak kelahiran Argentina, Paulo Dybala baru-baru ini memilih untuk membeli sebuah Lamborghini Aventador S Roadster bagi meraikan gol ke-100 yang dijaringkannya bersama pasukan Juventus.
Gol ke-100 itu dijaringkan ketika Dybala membuat penampilan kali ke-251 bersama pasukan Juventus.
Memandangkan HQ Juventus terletak di Turin, yang mempunyai jarak hanya beberapa ratus kilometer dari HQ Lamborghini yang terletak di Sant’Agata Bolognese, Dybala membuat keputusan untuk melihat model apa yang ditawarkan oleh pengeluar paling digemari di bandar itu.
Walaupun mempunyai banyak pilihan supercar, Dybala tetap memilih Aventador S Roadster, yang dikuasakan oleh enjin V12. Secara keseluruhan, supercar ini mampu menghasilkan sehingga 730hp dan memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya tiga saat.
“Aventador merupakan cinta pandang pertama saya. Saya telah menunggu selama beberapa tahun sebelum membelinya, dan kini memiliki supercar ini merupakan suatu penghormatan dan hak istimewa untuk saya,” kata Dybala.
Dybala memilih untuk mendapatkan supercar itu dengan ruangan dalam berwarna hitam yang digabungkan dengan jahitan berwarna kuning, yang sesuai dengan warna luaran iaitu Giallo Orion.
“Lamborghini ini perlu berwarna kuning. Saya suka akan penampilannya dan ianya sangat sesuai dengan diri saya ketika saya memandunya,” tambahnya.
Paulo Dybala merupakan pemain bukan kelahiran Eropah pertama yang menjaringkan 100 gol untuk pasukan Juventus, dan kejayaan ini diperoleh ketika Juventus berjaya menewaskan Sassuolo dengan keputsan 3-1 pada 12 Mei lalu.
Selain itu, dalam perlawanan tersebut, rakan sepasukan Dybala iaitu Cristiano Ronaldo juga berjaya mencatat golnya yang ke-100 untuk pasukan Juventus.