Artikel ini bukanlah untuk menyuruh anda beli Toyota GR Yaris sekarang kerana kesemuanya habis dijual di Malaysia. Semasa pelancaran, UMW Toyota berkata ‘kurang dari 200 unit’ dibawa untuk pasaran kita.
Ada yang berkata 125 unit. Penulis pun tiada angka yang tepat, tapi senang cerita memang terhad lah!
Seperti anda mungkin tahu, Toyota GR Yaris dihasilkan sebagai homologasi untuk mereka bersaing dalam WRC (World Rally Championship). Maka untuk keperluan itu, 25,000 unit perlu dibina dan dijual kepada pasaran awam.
Dan ya Tuhan, sesungguhnya Toyota telah mencipta suatu jentera yang sangat-sangat istimewa. Ia boleh dikatakan seperti berjiwa Mitsubishi Evo atau Subaru Impreza dari 10 tahun lepas, tetapi dengan kecanggihan dan keselesaan hot hatch moden seperti VW Golf GTi atau Mercedes-AMG A35.
Atau boleh juga dikatakan ibarat Honda Civic Type-R FK8 dengan pacuan semua-roda.
Penulis baru-baru ini telah berkesempatan memandu uji Toyota GR Yaris ini di litar Sepang, jadi di sini akan penulis ceritakan lapan (8) sebab kenapa harga RM299,000 itu sebenarnya sangat berbaloi.
Tapi apa kita perlu buat lepas baca artikel ini kalau kesemua GR Yaris habis dijual di Malaysia? Mulai dari saat ini, tunggu jika ada unit terpakai atau recond, beli sahaja kalau anda mampu!
1. Enjin 3-silinder paling berkuasa
Sebab pertama, ia dipacu oleh enjin 3-silinder paling berkuasa di dunia. Perlu cerita lebih lagi ke? Sebab ini pun sudah menunjukkan betapa serius Toyota menghasilkan GR Yaris.
Enjin 1.6-liter turbo ini menjana 257hp dan 360Nm tork dan tidak dikongsi dengan model-model Toyota lain.
2. Banyak barang mahal dan unik tidak dikongsi dengan model lain
Betapa istimewanya Toyota GR Yaris ini, banyak komponen yang direka khas untuknya dan tidak pernah digunakan pada model-model sebelumnya.
Sebagai contoh, platform TNGA (Toyota New Global Architecture) padanya terpaksa ‘dikahwinkan’ iaitu TNGA-B dengan model Yaris (pasaran Jepun dan Eropah) di depan, tetapi menggunakan TNGA-C di belakang.
Ini kerana TNGA-B menggunakan suspensi belakang torsion beam, GR Yaris terpaksa menggunakan TNGA-C untuk memuatkan suspensi independent jenis double-wishbone dan gandar pacuan belakang untuk sistem AWD.
Sistem pacuan semua-roda (AWD), bumbung gentian karbon, binaan dari aluminium dan keluli, kesemua ini unik pada GR Yaris.
Jika anda tahu dan faham semua ini, pasti anda tak akan merungut soal harga. Eh tapi, bukan itu saja.
3. Direka untuk nikmat pemanduan, tak kira anda profesional atau pemandu biasa
Pada tahap ini, kita dapat lihatkan bahawa Toyota GR Yaris memang direka untuk nikmat dan kepuasan pemanduan.
Sebagai contoh, pilihan transmisi ialah manual 6-kelajuan muktamad! Tiada automatik atau dwi-klac atau segala macam.
Menariknya, keupayaan GR Yaris bukan sahaja boleh dinikmati pemandu terlatih, tetapi juga pemandu biasa seperti penulis.
Walaupun ia berkuasa, jika kita hendak pandu perlahan memang boleh. Semasa penulis baru memandu keluar dari paddock Litar Sepang, klacnya terasa ringan dan mudah dikendali. Kawalan pendikit di kelajuan rendah juga lancar, kereta tidak terasa mudah tersengguk.
Dan apabila memandu laju di litar, sistem iMT (Intelligent Manual Transmission) membantu blip enjin supaya kita nampak dan rasa seperti profesional semasa membrek memasuki selekoh. Fungsi ini boleh dimatikan sekiranya anda mahu lakukan heel-and-toe sendiri.
Pemandu profesional juga boleh mendapat manfaat dari iMT sekiranya mereka malas heel-and-toe dan ingin memberi lebih fokus kepada pemanduan.
4. Tiada mod pemanduan, kaki dan tangan anda jadi penentu!
Jika anda tukar mod pemanduan (contoh: Normal, Eco, Sport) dalam kereta lain, ia akan melaras talaan pada respon pendikit minyak, tukaran gear, kekerasan suspensi dan sebagainya. Mod-mod ini akan memberi rasa dan feel berbeza untuk situasi pemanduan berbeza.
Tidak untuk GR Yaris. Tangan dan kaki anda sendiri jadi penentu. Nak kereta responsif, tekan secara agresif. Jika nak kereta lebih relaks, anda sendiri pandu dengan santai.
Ya, terdapat mod Normal, Sport, dan Track pada GR Yaris. Tetapi mod-mod ini hanya akan melaras nisbah agihan kuasa pada gandar depan dan belakang, iaitu 60:40 untuk Normal, 30:70 untuk Sport, dan 50:50 untuk Track.
5. Handbrake manual yang de-couple sistem 4WD
Walaupun GR Yaris ini sebuah kereta yang dikeluarkan pada tahun 2020, beberapa perkara masih lagi old school pada jentera ini. Salah satunya ialah handbrake atau tuil brek parkir manual.
Malah, pereka GR Yaris juga menggalakkan pemilik-pemiliknya untuk ‘menggunakan’ handbrake ini semasa memandu dengan membuat handbrake turn!
Bolehlah anda berseronok semasa ingin masuk simpang atau membuat pusingan-U.
Satu lagi ciri tambahan penting pada handbrake mekanikal ini ialah jika kereta mengesan anda menarik handbrake, pek klac akan ‘memutuskan’ kuasa ke gandar belakang. Jadi, tiada masalah jika anda terlupa menekan klac semasa handbrake ditarik untuk aksi nakal anda.
6. Tenaga dan prestasi tinggi dalam semua keadaan
Dengan 257hp dan 360Nm tork serta badan yang hanya besar sedikit sahaja dari Perodua Myvi, GR Yaris menjanjikan prestasi tinggi dalam semua keadaan pemanduan.
Tenaga sentiasa brutal pada mana-mana kelajuan dan rpm, selamba sahaja pecutan kuat walaupun anda ‘tarik’ dari 2,500rpm, seperti yang penulis rasai apabila memecut keluar dari paddock dalam gear 2.
Dengan wheelbase yang pendek dan stance badan yang lebar pula memberikan rasa lincah di selekoh. Sebarang input kecil pada stereng akan terus dirasai pada belakang badan dan peha anda.
Dan seterusnya untuk cengkaman, tayar Michelin Pilot Sport 4S terasa sangat padan dengan karakter casis GR Yaris ini. Had cengkaman sangat tinggi dan jauh untuk kebanyakan pemandu, dan ini memberikan kita kestabilan untuk ‘mengukir’ selekoh pada kelajuan di luar kebiasaan kita.
Penulis dapat rasakan pada Turn 5 dan 6 Litar Sepang dimana GR Yaris ini dapat mengejar dan mengekalkan jarak dengan Toyota Supra yang dipandu instruktor di depan. GR Yaris hanya ditinggalkan oleh Supra di jalan lurus yang panjang.
7. Mungkin takkan ada lagi kereta macam ni lepas ni
Ya, untuk menghasilkan jentera macam ni perlukan komitmen besar dari sesebuah pengeluar kerana banyak komponen unik dan khas.
Jadi, mungkin takkan ada lagi jentera seperti ini di masa akan datang. Kalau ada pun model homologasi WRC, mungkin jauh berbeza dengan spesifikasi sekarang.
Dari sudut pasaran, berkemungkinan Toyota GR Yaris dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang bakal jadi seperti Honda Civic FD2 Type-R. Harga kekal atau turun pun terlalu sedikit. Boleh jadi collector’s item.
Baru-baru ini juga sebuah Toyota GR Yaris dilihat dijual pada harga RM320,000 iaitu RM21,000 lebih dari harga asal.
8. Toyota – tahan lasak dan kebal!
Akhir sekali, GR Yaris tetap mengekalkan sifat sebuah Toyota, iaitu tahan lasak. Buktinya, kereta yang penulis pandu uji di Litar Sepang ini telah ‘diuji’ tiga hari berturut-turut oleh para media, dimana sesi penulis ialah di hari terakhir.
Tiga kereta yang sama digunakan untuk sesi gymkhana dan pemanduan di litar. Handbrake ditarik beratus kali, suspensi dan casis diberi tekanan, dan penukaran gear yang ‘kurang sempurna’, GR Yaris tetap bertahan tanpa sebarang masalah.
Juga tiada isu penyejukan walaupun sesi gymkhana memerlukan enjin diperah maksima pada kelajuan rendah dan di bawah panas terik. Tiada masalah, dan menurut instruktor, hanya tayar sahaja yang ditukar.
Dengan hanya lapan sebab utama ini penulis yakin Toyota GR Yaris sangat berbaloi untuk harganya. Paling penting, ia sebuah jentera yang sangat unik dalam era kereta-kereta moden masa kini.
Boleh juga penulis katakana bahawa Toyota GR Yaris ialah antara kereta paling memuaskan dan mengujakan pernah dipandu penulis.
Spesifikasi Toyota GR Yaris
Harga: RM299,000 (tanpa cukai dan insurans)
Enjin: 1,618cc, 3-silinder turbo, suntikan terus bahan api, Variable Valve Timing
Kuasa maksima: 257 hp @ 6,500 rpm
Tork maksima: 360 Nm @ 3,000 rpm
Transmisi: Manual 6-kelajuan dengan (iMT) Intelligent Manual Transmission
Sistem suspensi: Topang MacPherson (depan), double wishbone (belakang)
Berat: 1,280 kg
Sistem keselamatan: 6 beg udara, ABS, EBD, Stability Control, seat-belt reminder, Autonomous Emergency Braking dengan pengesanan pejalan kaki dan kenderaan dari depan, Lane Keeping Assist dengan bantuan stereng, dan ISOFIX.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar