Pada tahun 2007, Richard Hammond memandu Bugatti Veyron berlumba dengan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dalam rancangan Top Gear lama. Walaupun Veyron mempunyai kuasa pecutan menakjubkan, tetap sukar untuknya mengejar jet pejuang itu.
Kemudian tahun lepas, satu lagi perlumbaan jentera empat roda dengan pesawat pejuang dibuat oleh Top Gear, melibatkan McLaren Speedtail dan F-35.
Kini, perlumbaan roda dan sayap melibatkan dua ikon dan kemegahan Perancis, iaitu Bugatti Chiron dan pesawat pejuang maritim Dassault Rafale.
Kedua-dua jentera itu bertemu di sebuah pangkalan tentera laut Perancis di Landivisiau untuk berentap.
Di belakang stereng Chiron Sport dengan spesifikasi ‘Les Legendes du Ciel’ (LDC) iaitu model terhad 20 unit ialah Pierre-Henri Raphanel. Beliau ialah pemandu uji Bugatti yang pernah berlumba dalam 24 Hours of Le Mans sebanyak 14 kali dari 1986 hingga 2000.
Raphanel juga pernah memecahkan rekod kelajuan kereta road-legal pada 2010 memandu Bugatti Veyron 16.4 Super Sport, mencapai 431.072km/j.
Di dalam kokpit jet pejuang Rafale pula ialah kapten Etienne. “Ketepatan dan persediaan adalah segalanya,” kata juruterbang tentera laut itu.
“Segalanya berlaku sangat pantas dengan Rafale Marine, dan setiap pergerakan yang anda lakukan mestilah betul. Begitu juga dengan Chiron Sport pada kelajuan tinggi,” tambah Etienne.
Sejurus selepas perlumbaan bermula, seperti dijangka, Chiron Sport mendahului hasil dari 1,479hp dan 1,600Nm tork yang dihamburkan oleh enjin 8.0-liter quad-turbo W16. Kuasa dihantar ke semua roda melalui transmisi dwi-klac 7-kelajuan dan sistem AWD.
Chiron Sport mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam 2.4 saat, mencapai 200km/j dalam 6.1 saat dan 300km/j dalam hanya 13.1 saat. Kelajuan 400km/j pula mampu dicapai dalam 32.6 saat.
Rafale pula mencapai 165km/j selepas 150 meter, 210km/j selepas 250 meter dan berlepas pada 450 meter sekitar 260km/j.
Ia mempunyai kuasa 5,646hp untuk menujah badan seberat 10.3 tan (berat maksimum 24.5 tan) mencapai kelajuan melebih 1.6 Mach (1,975km/j).
“Saya meninggalkan Rafale dalam beberapa ratus meter pertama, tapi selepas itu, ia berada 20 meter di atas dan di sebelah saya di udara,” kata Raphanel. “Suatu pemandangan menakjubkan,” tambahnya.
Penganjur mengisytiharkan perlumbaan itu sebagai seri.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar