Bila bercakap perihal jodoh, yakinlah bahawa setiap orang sememangnya sudah ditakdirkan untuk berpasangan. Cepat atau lambat, jodoh pasti akan sampai jua bila tiba waktunya.
Terkadang, jodoh datang dalam pertemuan yang tidak disangka dan tidak dibayangkan sebelum ini. Seperti yang dilalui oleh pasangan ini yang memulakan perkenalan kerana alat ganti kereta.
Menerusi kiriman yang dikongsikan Fakhrullah Yusup di Facebook, dia menunjukkan tangkap layar perbualan dirinya dan isteri di Messenger yang bermula dari hanya ingin membeli penyerap hentak kereta dan seterusnya bertukar nombor telefon.
Perbualan itu menarik perhatian ramai kerana langkah smooth yang dilakukan oleh Fakhrullah Yusup dalam memikat hati isterinya.
Fakhrullah mengatakan bahawa dia ingin membeli penyerap hentak kereta tetapi tidak tahu hendak dibeli di mana. Justeru, dia bertanya pada isterinya yang merupakan pemilik bengkel kereta.
“Disebabkan saya kenal isteri saya ni dari keluarga saya jugak, saya terus DM dia saja nak tanya harga,” katanya.
Tidak berakhir di situ, isterinya dikatakan selalu memberi reaksi tanda suka pada gambar-gambarnya. Sejak itu, mereka sering berbalas mesej dan menghubungi satu sama lain sehingga ke jinjang pelamin.
Menurut Fakhrullah, mereka baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada 15 Mei yang lalu. Perkongsiannya itu menarik perhatian ramai sehingga mendapat sebanyak 1,000 perkongsian di Facebook.
Tahniah diucapkan buat Fakhrullah dan pasangan, semoga ikatan yang dibina berkekalan hingga ke syurga.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar