Lamborghini Aventador dari kadbod hasil ciptaan YouTuber New Zealand berjaya dilelong dengan nilai AS$10,420 (RM43,165).
Menariknya, hasil jualan itu bukan untuk dirinya, sebaliknya disalurkan kepada badan kebajikan, Hospital Starship Children di Auckland.
Pemiliknya, David Jones berkata, kenderaan dinamakan Cardborghini Adventapoor yang diperbuat daripada bahan asas kadbod itu berukuran 1.65 meter lebar dan panjangnya 3.78 meter.
Katanya, hospital terbabit menjadi pilihannya menyalurkan sumbangan kerana pernah mendapatkan rawatan barah ketika usianya 14 tahun.
“Kakitangan di sana semua cool dan mereka menjaga saya dengan baik.
“Saya tak mampu membeli dan tidak mungkin ada orang mahu menyewakan Lamborghini kepada orang yang berusia 22 tahun macam saya ini. Jadi, itu membuatkan saya terfikirkan idea ini,” katanya.
Menurutnya, Lamborghini Aventador dari kadbod ini dibuat secara dua peringkat di mana bahagian badannya mengambil masa seminggu dan bahagian rangka pemanduan seminggu lebih.
“Kenderaan itu diuji menggunakan roda basikal sebelum dipasang dengan roda kadbod.
“Saya tak sangka dapat sambutan luar biasa macam ini, sedangkan saya cuma jangka ia dapat dijual sekitar AS$50 (RM207),” lanjut Jones.
Video perkongsian projek Jones itu dimuat naik di media sosial dan meraih lebih sejuta kali tontonan dengan warganet kagum dengan niat murni anak muda itu.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar