Proton bakal memproduksi sendiri enjin 1.5-liter turbo tiga-silinder dengan nama Global Engine Petrol 3 (GEP3) yang digunakan pada X50 serta X70 versi eksport (ke Pakistan).
Menurut rakan media kami, Paultan.org yang memetik laporan tahunan 2021 Sapura Industrial, langkah itu untuk membesarkan lagi aktiviti CKD, iaitu sebahagian dari program Geely-Proton di Malaysia. Ianya bakal membantu perniagaan eksport Proton menerusi proses tersebut.
Laporan itu menyatakan bahawa enjin GEP3 ini bakal menggantikan sepenuhnya 1.6 turbo CampPro CFE dan ia mungkin akan berlaku pada model-model akan datang Proton.
Sapura Industrial dikatakan telah menerima surat penganugerahan bagi membekalkan beberapa komponen enjin GEP3 kepada Proton seperti penyerap getaran kilasan serta aci sesondol bagi injap kemasukan dan ekzos.
Proton sebelum ini pernha menyatakan enjin CamPro mereka akan terus digunakan, bermakna model-model seperti Iriz, Persona, Exora dan Saga akan terus menggunakannya.
Ini bermakna GEP3 akan digunakan untuk model-model eksport yang mengenakan standard emisi lebih tinggi dan ketat.
Enjin GEP3 ini dibangunkan bersama oleh Volvo dan Geely. Ia berdasarkan Volvo Engine Architecture, kemudian dipasarkan dengan nama Drive-E dan G-Power mengikut jenama masing-masing.
Sebenarnya di Malaysia, Proton sudah pun menggunakan enjin GEP3 ini dalam dua versi iaitu dalam model X50.
Satu versi ialah unit dengan multipoint injection yang menjana 148hp dan 26Nm tork pada X50 Standard, Executive dan Premium.
Satu lagi versi ialah yang lebih berkuasa iaitu direct-injection dengan output 177hp dan 255Nm tork, dibekalkan pada Proton X50 Flagship dan X70 1.5 T-GDI versi eksport. Kedua-dua versi enjin GEP3 ini dipadankan dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan.
Enjin ini dijangka akan dipasang di kilang Proton Tanjung Malim, yang sehingga kini terus dibesarkan dan dinaik taraf serta menerima banyak suntikan dana pelaburan.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar