Proton catat jualan eksport tertinggi sejak Mac 2013, sambutan menggalakkan di Pakistan

1568

Dengan penguatkuasaan ketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia, Proton tetap mencatatkan 669 unit kenderaan dijual oleh pengedar pada Mei 2021. Ianya hasil terbaik sejak Mac 2013, setelah tempoh 98 bulan.

Sehingga penghujung Mei, jumlah jualan adalah sebanyak 174 peratus daripada sasaran berbanding tempoh yang sama tahun lalu dan hanya kurang 6 peratus sahaja berbanding keseluruhan tahun 2020.



Peningkatan jualan eksport Proton dipengaruhi oleh permintaan di pasaran tertentu, sesetengahnya adalah pasaran baru dan yang lain sudah menjual kereta Proton sejak berdekad lalu.

Sebagai contoh, Pakistan adalah pasaran baru bagi syarikat tetapi bagi tempoh lima bulan yang pertama tahun 2021, ia merupakan pasaran eksport yang terbaik.

Dalam masa yang sama, Brunei yang menjual kereta Proton sejak tahun 1987, menduduki tempat ketiga dari segi jualan tahun ini dan pada bulan Mei, pengimport Proton PAD Motors telah mencatatkan jualan terbaik syarikat sejak penubuhan syarikat itu.

Tidak juga ketinggalan, Alpha Ezz El-Arab, pengimport dan pengedar kereta Proton di Mesir, telah menjual 350 unit kereta Proton tahun ini, menduduki tempat kedua terbesar bagi pasaran eksport Proton.

“Walaupun terdapat kekangan antarabangsa dan peningkatan kos penghantaran akibat wabak Covid-19, kami tetap yakin akan mencapai sasaran kerana pelan jualan daripada pengimport dan kelebihan yang ada pada produk kami,” kata Steven Xu, Pengarah Jualan Antarabangsa, Proton.  

“Namun selepas lima bulan, kami hampir menggandakan jumlah jualan berbanding apa yang disasarkan, dan kami berharap agar ianya merupakan penanda bagi kejayaan berterusan tahun 2021,” tambahnya.

Dengan pertumbuhan jualan secara domestik yang meningkat, pemasangan model Proton di pasaran eksport juga amat penting bagi memastikan syarikat mampu mencapai sasaran jangka masa panjang.

Berikutan permulaan pemasangan tempatan bagi model Proton Saga di Kenya, Pakistan juga akan memulakan pemasangan tempatan (CKD).

“Jika segalanya berjalan dengan lancar, rakan kongsi kami di Pakistan, Al-Haj Automotive, akan memulakan operasi pemasangan Proton Saga pada akhir bulan Julai atau awal bulan Ogos di kilang baharu mereka di Karachi,” tambah Steven Xu.

Pemasangan Proton X70 akan dijalankan kemudian sebagai tambahan kepada barisan pemasangan, dan kami menaruh harapan tinggi yang mana perkembangan ini akan meningkatkan lagi pertumbuhan jualan di rantau Asia Selatan.”

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here