Polis kini sedang memburu seorang pemilik SUV Mercedes yang menggunakan lampu strob dipercayai digunakan untuk elak kesesakan trafik.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, arahan dikeluarkan jabatan itu ke peringkat kontinjen dan daerah bagi mengesan pemilik kenderaan tersebut.
Kata beliau, sehingga kini mereka masih mengenal pasti individu terbabit memandangkan penggunaan lampu strob adalah menjadi satu kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kita masih kesan pemilik tersebut bagi diambil tindakan susulan dan siasatan lanjut,” ulasnya.
Terdahulu, tular satu video memaparkan sebuah SUV yang kami rasa Mercedes-Benz GLE Coupe yang dilihat menggunakan lampu strob berwarna biru menyerupai kenderaan polis.
Video dari aplikasi TikTok berdurasi 20 saat itu kemudian menunjukkan kenderaan dipandu cuba melepasi kesesakan trafik.
Tindakan pemilik kenderaan itu memuat naik video berkenaan turut menerima kecaman netizen.
Kami tak pasti sama ada pemilik Mercedes GLE ini baru tinggal di Malaysia atau tidak, kerana kesesakan trafik adalah perkara lazim di bandar-bandar utama.
Jika mahu sampai awal ke destinasi, sama ada rancang perjalanan sebaiknya atau tunggang sahaja motosikal.
Tindakan memasang lampu strob pada kenderaan persendirian melanggar undang-undang dan memuat-naik video sebegini hanya mencari padah.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar