Perancah besi yang sedang dalam proses pembinaan di Lebuhraya Sungai Buloh-Kota Damansara (DASH) dilaporkan runtuh pada petang semalam (Sabtu).
Dalam kejadian jam 7:10 malam itu, dua pekerja warga asing cedera dan tiada orang awam dilaporkan terlibat.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada jam 7:13 malam.
“Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum tiba di lokasi jam 7.27 malam,” katanya.
“Setibanya di lokasi pasukan bomba memberi rawatan awal kepada mangsa dan mereka berada dalam keadaan selamat dan hanya mengalami cedera ringan.”
Norazam berkata, kedua-dua mangsa warga Bangladesh berusia dalam lingkungan 20-an dan 40-an itu sedang bekerja di bawah tapak pembinaan setinggi 12 meter itu.
Norazam memaklumkan operasi tamat pada jam 7:34 malam.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar