Seorang wanita terkejut dan kecewa apabila menerima satu set karpet kereta yang dibelinya secara dalam talian, kerana ianya lebih kecil daripada saiz tapak tangannya walaupun dibeli pada harga £245 (RM1,400).
Wanita tersebut, Hedge Burley, 40, yang merupakan seorang pengumpul kereta membeli set karpet tersebut untuk dijadikan hadiah sempena ulang tahun suaminya, Mark, dan merancang untuk meletakkanya pada Ford Cosworth 1986 milik mereka.
“Saya mencari melalui dalam talian dan menemui sebuah laman web menjual karpet kereta sama seperti yang saya mahukan. Kemudian saya membeli set karpet tersebut kerana menyangka ianya bersaiz sebenar,” kata Burley.
“Ketika bungkusan set karpet tersebut diterima, saya merasakan ianya seperti kosong. Saya membuka bungkusan tersebut dan tidak tahu sama ada mahu ketawa atau menangis.
“Anak lelaki saya berkata bahawa itulah sebabnya mengapa orang tua tidak boleh membeli barang di internet,” tambahnya.
Susulan kejadian itu, Burley tekad akan mengambil langkah berjaga-jaga apabila membeli-belah secara dalam talian di masa hadapan.
“Pengalaman ini menguatkan tekad saya untuk tidak membeli-belah secara dalam talian. Saya juga telah cuba untuk menghubungi penjual tersebut, namun laman web itu sudah tidak aktif,” lanjut Burley.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar