Walaupun dengan trend SUV seluruh dunia, beberapa pengeluar masih percaya dengan pembeli wagon, salah satunya Peugeot dengan model terkini mereka, 308 SW.
Peugeot 308 SW ini boleh dikatakan antara wagon paling segak dari Eropah dan ia mengambil banyak elemen rekabentuk hatchback 308.
Sebagai sebuah wagon, perkara yang menjadi keutamaan tentunya kapasiti muatan kargo. Berbanding hatchback dengan kapasiti 412 liter, 308 SW ini mempunyai 608 liter kargo.
Untuk tambahan, dengan menurunkan tempat duduk belakang, ruang ini dapat ditambah menjadi 1,634 liter. Kelengkapan di ruang kargo termasuklah soket 12V, jaring simpanan, cangkuk dan lampu LED.
Dari segi dimensi, Peugeot 308 SW ini 60mm lebih panjang dan 20mm lebih rendah. Lebar gandar depan dan belakang dikekalkan, manakala cermin depannya dicondongkan lagi untuk rupa lebih sleek.
Untuk rekabentuk, Peugeot 308 SW mendapat lampu depan LED matriks, lampu belakang LED sepenuhnya, dan pilihan rim 16- hingga 18-inci. Kabin pula dilengkapi dengan dua skrin bersaiz 10-inci untuk instrumen dan infotainmen.
Peugeot 308 SW ditawarkan dalam pilihan enjin petrol, diesel dan PHEV (plug-in hybrid). Enjin petrol terdiri dari 1.2-liter turbo 3-silinder dengan 110hp dan 130hp, digandingkan dengan manual 6-kelajuan atau automatik 8-kelajuan.
Enjin diesel 1.5-liter berkuasa 130hp dan pilihan transmisi sama sesuai untuk mereka yang banyak memandu jauh di lebuhraya.
Sementara itu, Peugeot 308 SW juga ditawarkan dengan PHEV yang menggunakan motor elektrik 81kW dan pek bateri 12.4kWh. Dua pilihan PHEV iaitu pakej berkuasa 180hp dan 225hp. Bateri dalam sistem ini boleh memberikan jarak pemanduan elektrik sehingga 60km.
Sama seperti model hatchback, Peugeot 308 SW ini juga akan dipasang di kilang Mulhouse. Ia akan memasuki pasaran Eropah awal tahun depan.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar