Bugatti Veyron merupakan antara salah satu ikon dalam industri automotif, dan baru-baru ini, Bring A Trailer ada menawarkan versi 16.4 Coupe yang difahamkan memiliki perbatuan hanya 12,874km.
Secara keseluruhan, Bugatti hanya menghasilkan 450 unit Veyron, namun sebahagian besar dari jumlah legenda top speed itu adalah model edisi khas.
Pengeluaran Veyron 16.4 Coupe pula dihasilkan sebanyak 252 unit. Jentera ini merupakan nombor 89 dan ianya merupakan yang ke-29 dari 76 unit yang dihasilkan untuk pasaran Amerika Syarikat.
Menurut Bring A Trailer, hypercar ini diperoleh oleh pemilik semasanya pada tahun 2018, dan dijual semula dengan semua rekod servisnya.
Pemilik pertamanya memilih untuk menggunakan kemasan Beluga Black pada bahagian luaran dan digabungkan dengan air intake aluminium serta gril depan titanium.
Jentera ini juga disertakan dengan roda aluminium serta tayar Michelin Pilot Sport PAX yang berukuran 265-680 di bahagian hadapan dan 365-710 di belakang. Sistem brek pula menampilkan cakera seramik karbon 400mm dan kaliper lapan omboh di bahagian depan manakala bahagian belakang disertakan dengan cakera 380mm dan kaliper enam omboh.
Sama seperti luarannya, ruangan dalam Veyron ini cukup terjaga, dimana ianya hadir dengan tempat duduk gentian karbon dan beberapa kemasan kulit, yang turut disertakan pada panel pintu, konsol dan papan pemuka.
Kebanyakan ruangan dalam turut dihiasi dengan kemasan Alcantara, dan jentera ini turut dilengkapi dengan sistem audio Burmester.
Sebahagian besar komponen jentera ini adalah asal kilang, tetapi ia menggunakan sistem ekzos stainless-steel kustom. Sistem ekzos asal juga diberikan dalam jualan ini.
Untuk makluman, Veyron 16.4 Coupe dikuasakan oleh enjin W16 8.0-liter quad-turbo yang mampu menghasilkan sehingga 987hp dan 1,250Nm tork. Ia digabungkan dengan transmisi 7-kelajuan dwi-klac dan sistem pacuan semua-roda (AWD).
Pada 19 April 2005, Bugatti Veyron mencatat kelajuan maksima 408.47km/j di litar ujian Kumpulan Volkswagen di Ehra-Lessien. Ianya merupakan kereta produksi pertama yang berjaya mencapai kelajuan melebih 400km/j.
Bidaan semasa untuk jentera ini ialah pada USD1,175,000 (RM4.8 juta) dan ianya akan berakhir dalam tempoh tiga hari lagi.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar