Bolehkah Bugatti Chiron dengan 1,500hp mengalahkan jentera F1 dalam drag race? [+video]

3546

Walaupun drag race bukanlah penentu segalanya, tetap menarik untuk melihat perlumbaan sebegini. Lebih-lebih lagi jika jentera yang berlumba itu sangat berbeza seperti seperti hypercar dengan jet pejuang, menjadikan sukar untuk kita agak siapa pemenangnya.

Kali ini kita lihat satu lagi drag race istimewa, satu kenderaan produksi biasa dan satu lagi jentera perlumbaan Grand Prix. Di satu sisi, kita ada Bugatti Chiron iaitu antara kereta produksi paling laju di dunia, dan di sebelah lagi kita ada Formula 1 Red Bull Racing RB7.



Sebelum kita tonton drag race yang dijalankan oleh saluran Youtube Carwow ini, mari kita lihatkan angka-angka dari dua jentera luar biasa ini.

Bugatti Chiron seperti biasa, dikuasakan oleh enjin 8.0-liter W16 quad-turbo yang menghamburkan 1,500hp, 1,600Nm tork, menghantar kuasa ke semua roda menggunakan transmisi dwi-klac 7-kelajuan. Chiron berharga 2.5 juta Pound (sekitar RM14.4 juta).

Sementara itu, F1 Red Bull tahun 2011 itu dipacu oleh enjin 2.4-liter V8 yang mampu rev sehingga 18,000rpm. Walaupun enjin jauh lebih kecil, ia tetap menjana 750hp, menghantar kuasa ke roda belakang dengan transmisi 7-kelajuan.

Harga Formula 1 ini dianggarkan sekitar 62.5 juta Pound (RM360.4 juta), menjadikan Chiron nampak ‘murah’. Oh ya, kereta Formula 1 ini akan dipandu oleh bekas pelumba F1 sendiri, David Coulthard.

Dengan hampir dua kali ganda kuasa, Bugatti Chiron nampak seperti mempunyai peluang besar untuk memenangi perlumbaan ini. Tetapi harus diingat RB7 hanya seberat 650kg termasuk pemandu, manakala Chiron mempunyai berat hampir 2 tan, iaitu lebih tiga kali ganda.

Juga faktor yang boleh diambil kira dalam perlumbaan ini adalah cengkaman berbeza (Chiron AWD, manakala F1 RWD), respon enjin, dan downforce (F1 boleh membelok dengan laju, tetapi mempunyai kelajuan maksima yang terhad).

Siapa yang anda rasa akan menang? Sama-sama kita ketahui sama ada kereta yang anda teka itu menang atau tidak.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here