Individu yang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 akan dibenar bercuti di Langkawi selepas pulau peranginan itu dijangka dibuka kepada pengunjung September ini.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sudah bersetuju membekalkan vaksin mencukupi bagi memastikan 80 peratus penduduk pulau itu menerima suntikan vaksin sebelum kehadiran pelancong.
Sanusi berkata, “Pihak MOSTI dan MOTAC bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi mempercepatkan pemberian vaksin kepada 61,000 penduduk Langkawi yang layak menerima vaksin.”
“Ini bermakna, sebanyak 120,000 dos vaksin perlu dibekalkan kepada penduduk Langkawi sebelum dibuka kepada orang ramai.
“Pelancong yang hendak masuk ke Langkawi pula perlu lengkap dua dos vaksin dan mereka yang tidak disuntik atau hanya menerima satu dos suntikan, tidak dibenarkan bercuti di Langkawi.”
Beliau berkata demikian selepas melawat kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PSTB) semalam.
Menurut Sanusi lagi, pihaknya yakin pembukaan Langkawi dalam tempoh dua bulan lagi akan memulihkan kembali sektor pelancongan di pulau itu.
“Hotel di Langkawi sangat tenat ketika ini, kita faham dan sangat bersimpati, kita nak mempercepatkan proses suntikan vaksin, sebab saya sendiri pun mahu ke Langkawi,” katanya.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi berkata, sebanyak 80 peratus penduduk Langkawi perlu mendapat suntikan vaksin bagi membolehkan gelembung perjalanan dilaksanakan di pulau itu apabila rentas negeri dibenarkan dan sempadan negara kembali dibuka pada September ini.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar