Lewis Hamilton akan terus bersama pasukan Mercedes sehingga tahun 2023, apabila menandatangani kontrak baharu selama dua tahun dengan pasukan tersebut.
Sejak menyertai Mercedes pada tahun 2013, Hamilton telah memenangi enam daripada tujuh gelaran dunianya.
“Sukar untuk mempercayai yang sudah hampir sembilan tahun saya bekerja dengan pasukan yang hebat ini. Saya teruja untuk meneruskan kerjasama bagi tempoh dua tahun lagi,” kata Hamilton dalam satu kenyataan.
“Kami mencapai pelbagai kejayaan bersama namun masih banyak lagi yang boleh dicapai di dalam mahupun di luar litar.
“Saya berbangga dan bersyukur kerana Mercedes sentiasa menyokong impian saya untuk menambah baik kepelbagaian dan kesamarataan dalam sukan ini.
“Mereka bertanggungjawab dan mengambil langkah yang penting untuk mewujudkan pasukan yang lebih meluas dan persekitaran yang inklusif,” tambahnya.
Sepanjang musim ini, Hamilton telah memenangi tiga daripada lapan perlumbaan yang telah berlangsung, namun masih ketinggalan 18 mata dengan pendahulu, Max Verstappen.
“Pencapaian Lewis dalam sukan ini membuktikan segalanya dan dengan pengalaman, kepantasan dan kemahirannya, dia sedang berada di kemuncak,” kata prinspal pasukan dan Ketua Eksekutif Mercedes, Toto Wolff.
“Kami menikmati perlumbaan pada tahun ini – sebab itulah kami mahu kontrak ini segera dimuktamadkan supaya tiada gangguan untuk pertandingan di atas litar.
“Saya sentiasa katakan yang selagi Lewis masih bersemangat untuk berlumba, dia boleh teruskan selagi dia mahu,” tambahnya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar