Model Elise, Exige dan Evora sememangnya telah berusia, dan menggantikan tiga nama tersohor ini bukanlah tugas mudah. Tugas ini akan digalas oleh model terbaharu pengeluar dari Norfolk, UK iaitu Lotus Emira.
Ia akan menggantikan Elise, Exige dan Evora yang akan ditamatkan pengeluarannya.
Sudah tentu Lotus Emira ini akan duduk jauh di bawah Evija, iaitu hypercar elektrik jutaan ringgit. Sebaliknya, Emira akan bersaing dengan model-model sports yang terkenal dengan pengendalian mantap seperti Porsche 718 Cayman dan Alpine A110.
Lotus terkenal dengan ‘dietnya’, maka Emira ini juga agak ringan, kira-kira 1,405kg sahaja.
Untuk enjin, dua pilihan akan ditawarkan. Anda boleh pilih sama ada enjin 3.5-liter V6 supercaj telah terbukti tahan lasak. Enjin dari Toyota ini pernah digunakan pada model Evora dan Exige.
Satu lagi pilihan enjin ialah 2.0-liter turbo dari AMG. Enjin M139 4-silinder ini ialah unit sama yang memacu model-model AMG 45 seperti CLA45 dan A45 S, dengan kuasa sekitar 400hp.
Sama seperti Mercedes-AMG, enjin ini akan digandingkan dengan transmisi dwi-klac 8-kelajuan. Jika anda mahu pilihan manual, anda harus pilih enjin V6 3.5-liter tadi.
Lotus tidak mendedahkan secara terperinci kuasa Emira, tetapi dari segi prestasi, model terpantas mampu memecut ke 100km/j dalam kurang 4.0 saat, dan kelajuan maksima pada 290km/j.
Jika anda pilih Lotus Drivers Pack, ia akan turut hadir dengan Launch Control, suspensi lebih keras, dan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 menggantikan Goodyear Eagle F1 Supersport standard.
Emira akan menjadi model global Lotus sepenuhnya, dan mendapat lampu depan LED nipis seperti Evija.
Di bahagian dalam, Emira jauh lebih canggih dari model sebelumnya, dimana ia dilengkapi paparan pemandu digital sepenuhnya dengan skrin 12.3-inci. Sementara itu, skrin infotainmen tengah berukuran 10.25-inci akan menyokong Android Auto dan Apple CarPlay.
Emira dijadualkan untuk mula dijual pada musim panas tahun depan, dengan harga bermula £60,000 (RM344,473) di UK.
Varian First Edition dengan enjin V6 akan diperkenalkan semasa pelancaran sebagai model flagship.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar